Profesional kewangan Islam perlu dilengkapi kemahiran bagi berdepan cabaran global, kata CIIF | DagangNews Skip to main content

Profesional kewangan Islam perlu dilengkapi kemahiran bagi berdepan cabaran global, kata CIIF

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Nov - Institut Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIIF) menekankan keperluan golongan profesional kewangan Islam di peringkat global bagi berdepan cabaran dan pertumbuhan pesat didorong oleh tekanan inflasi, geopolitik, sektor perbankan dan kemajuan dalam teknologi dan pendigitalan perkhidmatan kewangan. 

 

Presiden CIIF, Kemal Rizadi Arbi berkata, selain itu, kemasukan tenaga kerja baharu adalah penting bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian kewangan beretika dan mampan yang ditawarkan oleh kewangan Islam sambil merapatkan jurang dalam faktor-faktor yang disebutkan. 

 

Katanya, dengan aset Industri Perkhidmatan Kewangan Islam Global berkembang sebanyak 4% tahun ke tahun pada nilai anggaran RM15.05 trilion pada 20231, usaha berterusan untuk meningkatkan pengetahuan adalah penting bagi profesional kewangan Islam dalam melaksanakan mutu kerja yang berkualiti tinggi yang akan menyumbang kembali kepada industri.

 

"Memandangkan modal insan mahir merupakan komponen penting dalam pertumbuhan industri kewangan Islam, kemahiran profesional dan pembangunan kerjaya bakat dalam industri perlu dipertingkatkan bagi menggerakkan kewangan Islam ke peringkat seterusnya," katanya semasa Majlis Penganugerahan Ke-3 CIIF untuk Ahli-Ahli Bertauliah yang baharu di Sasana Kijang, di sini, pada Sabtu.

 

Jelasnya, majlis itu bukan sahaja meraikan pencapaian individu, tetapi juga mempamerkan komitmen kolektif terhadap pembangunan bakat. 

 

"Kami terinspirasi oleh syarikat dan organisasi yang telah melakukan usaha luar daripada kebiasaan mereka untuk meningkatkan tenaga kerja syarikat, menunjukkan kepercayaan bersama bahawa melabur untuk pembangunan pekerja adalah asas kejayaan. 

 

Organisasi-organisasi ini telah memperkasakan pasukan mereka untuk menerima pembelajaran sepanjang hayat dan pertumbuhan profesional, memastikan mereka dilengkapi dengan baik untuk mengharungi kerumitan yang semakin berkembang dalam cabaran ekonomi hari ini," jelasnya.

 

Majlis yang bertemakan Dari Aspirasi Menuju Pencapaian itu menyaksikan seramai 100 ahli dianugerahkan sebagai Ahli Bertauliah, dengan 15 daripadanya dianugerahkan sebagai Felo Ahli Bertauliah. 

 

Kemuncak majlis adalah penganugerahan khas, yang merupakan kali pertama oleh CIIF, diberikan kepada Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Mohammad Faiz Azmi, yang menerima Anugerah Ahli Bertauliah Kehormat CIIF atas sumbangan besar beliau kepada kewangan Islam, termasuk kepimpinan beliau dalam Pasukan Kewangan Islam Global PwC. 

 

Dalam ucapan penerimaannya, Dato’ Mohammad Faiz mengucapkan terima kasih kepada CIIF atas pengiktirafan khas tersebut dan menyampaikan beberapa nasihat penting kepada para Ahli Bertauliah baharu. 

 

Pada majlis sama turut berlangsung sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Senior Kewangan Islam (Arif), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Enforcement, Leadership, and Management University (ELMU).

 

MoU dengan Arif bertujuan memberi tumpuan kepada memupuk manfaat bersama dalam industri kewangan Islam melalui pelbagai inisiatif termasuk perkongsian pengetahuan antara profesional berpengalaman dan bakat muda serta pembangunan profesional, manakala objektif MoU dengan UiTM adalah untuk merapatkan jurang akademik dan profesional dalam kewangan Islam dengan menggabungkan keupayaan pendidikan UiTM dengan kepakaran industri CIIF. 

 

Sementara itu, MoU dengan ELMU menumpukan usaha untuk memajukan pembangunan profesional dan pendidikan dalam tadbir urus, kewangan Islam dan bidang berkaitan.

 

CIIF turut melancarkan program pensijilan terbaharunya pada acara itu iaitu Pensijilan Profesional dalam Tadbir Urus Syariah, Pengurusan Risiko dan Audit untuk Pengendali Takaful, yang bertujuan melengkapkan profesional dengan pengetahuan kritikal, alat dan strategi yang diperlukan untuk cemerlang dalam tadbir urus syariah, mengurus risiko secara berkesan serta melaksanakan rangka kerja audit yang mantap khusus untuk operasi takaful. 

 

Program pensijilan tersebut yang akan dibuka untuk pendaftaran pada suku pertama 2025, disasarkan kepada pegawai syariah, juruaudit dalaman, pengurus risiko, kakitangan pematuhan, eksekutif kanan dalam pengendali takaful dan lain-lain profesional.

 

CIIF ialah sebuah badan profesional untuk pengamal bertauliah dalam industri kewangan Islam yang ditubuhkan sejak 2015. Sehingga kini, CIIF mempunyai seramai 1,541 ahli di seluruh dunia. - DagangNews.com