KUALA LUMPUR 23 Nov - Untung bersih Matrix Concepts Holdings Bhd. susut 2.4% kepada RM50.57 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2022 berbanding RM51.8 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan masalah kekurangan buruh dalam aktiviti pembinaan.
Ini menyaksikan pendapatannya susut 7.2% kepada RM222.35 juta pada suku berkenaan berbanding RM239.48 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Segmen hartanah kekal menjadi penyumbang utama kepada hasil kumpulan pada suku dikaji, merangkumi 93.1% atau RM207 juta, memandangkan pembeli rumah terus tertarik dengan cadangan nilai penawaran produk kumpulan.
Sementara itu, segmen hartanah komersial dan perindustrian merekodkan hasil lebih rendah, susut 85.9% kepada RM5.3 juta berikutan pelancaran produk komersial yang lebih rendah pada tahun kewangan semasa, serta inventori produk perindustrian yang terhad apabila pembangunan Sendayan Tech Valley semakin siap.
Bagi tempoh kumulatif enam bulan, untung bersihnya meningkat 17% kepada RM97.61 juta daripada RM83.49 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 12% kepada RM451.61 juta daripada RM402.91 juta.
Setakat 30 September 2022, jualan belum dibil kumpulan mencecah RM1.4 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang.
Dalam tempoh jangka pendek, Matrix Concepts berkata, kumpulan berada di peringkat akhir proses pengambilan buruh asing, dan menjangkakan dapat memenuhi keperluan buruh di tapak pembinaannya menjelang akhir tahun bagi kalender semasa.
"Dengan jangkaan ketibaan pengambilan buruh yang baharu, kumpulan positif dengan pantas menukar jualan belum dibilkan yang semakin meningkat kepada hasil, yang kini telah melebihi RM1.4 bilion daripada RM1.1 bilion tahun lalu,” katanya.
Kumpulan menjangkakan untuk terus merekodkan permintaan yang kukuh terutamanya dalam julat harga RM600,000, dengan kecenderungan yang semakin meningkat untuk penduduk Lembah Klang berpindah ke luar pusat bandar, dipermudahkan oleh pengaturan kerja yang jauh dan fleksibel. -DagangNews.com