Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Nov. - MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dijangka merekodkan kerugian yang lebih rendah pada suku keempat tahun ini setelah mencatatkan keuntungan operasi pada suku ketiga berakhir 30 September 2020 sebanyak RM5.6 juta.
Malah, pengeluar jenama Gula Prai itu juga mencatatkan hasil keseluruhan berjumlah RM594.6 juta bagi suku berkenaan, meningkat 12% berbanding RM531.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng berkata, pencapaian lebih positif ini didorong oleh jumlah jualan yang tinggi dan kos operasi yang rendah susulan penutupan operasi kilang penapisan di Perlis, 20 Jun lalu dan penghapusan aset biologi.
Kumpulan itu juga mengulangi strategi pemulihan dengan menggabungkan pengeluaran di kilang MSM di Johor, menurunkan kos pengeluaran dan meningkatkan harga purata jualan (ASP) dengan menghapuskan pemborong lapisan pertama dalam rantaian bekalan.
"Namun, kebimbangan utama kami ketika ini adalah penigkatan harga gula mentah kepada AS$0.14/lbs daripada AS$0.09/lbs pada 2020.
"Ini mungkin memberi kesan negatif kepada margin keuntungan MSM untuk gula bertapis tempatan pada 2021 dan pada masa masalah kepemimpinan yang melanda kumpulan ketika ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020, MSM merekodkan peningkatan margin jualan serta pengeksportan produk-produk baharu yang terus memperkukuhkan hasil MSM.
BACA : HASIL MSM MELONJAK 12% BAGI SUKU TAHUN INI
MSM juga mencatatkan jumlah kerugian bersih yang lebih rendah sebanyak 62% pada suku tersebut berbanding tempoh sama tahun lalu.
Syarikat telah menghapus kira aset tumbuhan penghasil melibatkan tanaman getah yang terjejas akibat kebakaran di Chuping, Perlis sebanyak RM27.2 juta, diikuti pelarasan rosot nilai sebanyak RM35.7 juta susulan perubahan dalam pengolahan perakaunan bagi aset-aset yang sama berikutan pembatalan perancangan jualan terdahulu.
Ini menjadikan kerugian sebelum cukai untuk suku ketiga itu sebanyak RM57.4 juta.
Pada awal Oktober lalu, Datuk Khairil Anuar Aziz dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MSM berkuat kuasa serta-merta.
Khairul Anuar, yang dilantik menerajui MSM pada April 2019, diarahkan bercuti pada awal September dan perlu menjelaskan beberapa ketidakseimbangan berkaitan inventori MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd dalam penyata kewangan 2019.
Susulan itu, MSM melantik Fakhrunniam Othman sebagai pemangku CEO berkuatkuasa 9 Oktober lalu.
Sementara itu, penganalisis MIDF Research, Khoo Zhen Ye berkata, masih wujud ketidaktentuan dalam pengurusan tertinggi di syarikat berkenaan ekoran beberapa perubahan yang berlaku beberapa bulan lalu.
"Oleh kerana kami tidak mempunyai banyak pemangkin positif ketika ini, kami menurunkan saranan terhadap MSM kepada 'Neutral' berbanding 'Beli' sebelum ini," katanya.
Menurutnya, MSM merekodkan prestasi kewangan yang baik pada suku ketiga di sebalik pandemik COVID-19 yang mencabar.
"Walaupun kami menyedari ia masih suku yang merekodkan kerugian, tetapi ia semakin berkurangan. Pada masa hadapan, kami menjangkakan permintaan eksport dan segmen industri akan terus meningkat," katanya.
Beliau juga menjangkakan prestasi kewangan MSM akan bertambah baik pada suku berikutnya meskipun dalam kadar yang perlahan berbanding jangkaan sebelum ini. - DagangNews.com