Masalah kurang tenaga buruh industri perladangan selesai 80 peratus | DagangNews Skip to main content

Masalah kurang tenaga buruh industri perladangan selesai 80 peratus

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 14 Mac - Masalah kekurangan tenaga buruh dalam industri perladangan berjaya diselesaikan hampir 80 peratus sehingga kini dengan bakinya sedang giat diusahakan.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berata, bagaimanapun masalah kekurangan tenaga buruh masih kekal mencabar terutamanya di tempat-tempat tertentu seperti Sarawak kerana negeri itu tidak menerima buruh dari Bangladesh.

 

“Kita sudah hampir selesai (masalah buruh), saya rasa hampir 80 peratus kini telah masuk tetapi cabarannya adalah di bahagian tertentu seperti di Sarawak, kerana mereka tidak mahu menerima buruh Bangladesh untuk bekerja di Sarawak.

 

“Jadi, sudah pastinya ia adalah satu cabaran untuk mendapatkan lebih banyak buruh Indonesia untuk masuk tetapi sejauh mana prosedur proses berkenaan boleh dilakukan. Dari segi kelulusan permohonan, hampir 100 peratus telah dicapai,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Projek Sawit Positif Rakyat (Projek P3) di sini, lapor Bernama.

 

Menurut Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, dari segi kelulusan (kemasukan buruh asing), ia sudah ada, tetapi cabarannya ialah membawa orang dari negara sumber.

 

Ini kerana, katanya,  amalan, peraturan dan undang-undang dari negara sumber bukan dalam kawalan kerajaan Malaysia.

 

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan Malaysia melibatkan masyarakat antarabangsa, sama ada perunding atau pemain industri yang memenuhi piawaian, amalan serantau dan juga antarabangsa.

 

Tambahnya, piawaian antarabangsa mesti diiktiraf bagi pemain industri untuk memenuhi jangkaan mereka yang membeli produk atau perkhidmatan Malaysia. - DagangNews.com