Matrade bekerjasama dengan Google, Bank Islam galak usahawan ke peringkat global | DagangNews Skip to main content

Matrade bekerjasama dengan Google, Bank Islam galak usahawan ke peringkat global

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed sempena Hari Eksport e-Kebangsaan (eNED@2021) hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Bagi menggalakkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melangkah ke peringkat global, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjalin kerjasama dengan Google Malaysia dan Bank Islam Malaysia Bhd. 

 

Kerjasama itu merupakan sebahagian usaha Hari Eksport e-Kebangsaan (eNED@2021) dengan tema ‘Merangsangkan Kembali Eksport Anda’ (Reignite Your Exports).

 

Pengerusi Matrade, Tan Sri Dr. Halim Mohamad berkata, penganjuran eNED tahun ini memberi lebih nilai kepada para peserta dengan membimbing para pengeksport dalam aspek berkaitan pembiayaan, kelestarian, pendigitalan dan peluang pasaran. 

 

"Ini sejajar dengan isu-isu perdagangan semasa supaya dapat memberi gambaran kepada mereka mengenai masa depan selepas pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.  

 

Kerjasama awam-swasta ini akan memanfaat aset secara bersama dalam mneganjurkan program pemantapan jangka panjang untuk meningkatkan daya saing komuniti perniagaan. 

 

Ini termasuk sesi penyerapan alat digital selain inisiatif rangkaian global dan padanan perniagaan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo berkata, pihaknya yakin teknologi berperanan penting dalam membantu PKS menyesuaikan pendekatan mereka dengan persekitaran perniagaan yang semakin berevolusi.

 

“Kami berharap dapat melakukan lebih banyak usaha di bawah kerjasama baharu ini dengan MATRADE menyasar untuk membantu lebih banyak perniagaan Malaysia berada di pentas antarabangsa.

 

“Adalah menjadi harapan bersama agar usaha ini akan mewujudkan lebih banyak perniagaan sedia eksport dan mereka memanfaatkan peluang perdagangan global yang semakin luas,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya gembira dapat mempermudah pertumbuhan perniagaan menerusi beberapa tawaran produk patuh syariah yang komprehensif.

 

Katanya, Bank Islam juga akan membolehkan perniagaan meneroka dan memperkukuh kedudukan pasaran mereka di peringkat global.

 

“Seterusnya, kita boleh menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19,” katanya. -DagangNews.com