KUALA LUMPUR 5 Sept - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan China Construction Bank (CCB) Malaysia bagi mengukuhkan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara itu.
Menurut Matrade, perkongsian itu menyasar untuk memupuk kerjasama antara pengeksport Malaysia dan syarikat China, menawarkan peluang pasaran dan pilihan pembiayaan yang diperluaskan.
Menerusi kerjasama itu, CCB akan bertindak sebagai perantara penting bagi mewujudkan hubungan perniagaan dan menyediakan perkhidmatan kewangan.
"Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menganjurkan dan mengambil bahagian dalam acara berkaitan perdagangan bagi meningkatkan lagi perdagangan dengan China," ujar Matrade.
Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkongsian itu menandakan kemajuan besar dalam usaha membantu pengeksport Malaysia dengan menyediakan akses yang lebih luas dalam pasaran China serta memberikan pelbagai pilihan pembiayaan dan sokongan.
"Dengan pengalaman luas Matrade dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan Malaysia di peringkat global, digabungkan dengan rangkaian kukuh CCB Malaysia, kami yakin kerjasama ini akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara negara kita dan China," katanya.
Beliau turut menekankan perkongsian itu juga merupakan sebahagian daripada strategi Matrade bagi meningkatkan eksport Malaysia ke China dan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).- DagangNews.com