MATRADE, FedEx Malaysia jalin kerjasama luaskan jangkauan PKS ke pasaran antarabangsa | DagangNews Skip to main content

MATRADE, FedEx Malaysia jalin kerjasama luaskan jangkauan PKS ke pasaran antarabangsa

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Ahli Lembaga Pengarah Kanan MATRADE, Pengasas dan Pengarah Urusan Hyrax Oil Sdn Bhd, Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Woon Tien Long.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Federal Express Corporation menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membantu peniaga eksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meluaskan jangkauan mereka ke arena antarabangsa. 

 

Perjanjian selama dua tahun itu dimeterai di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa MATRADE sempena perlangsungan Pameran Halal Antarabangsa ke-20 (MIHAS 2024). 

 

MoU tersebut itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Woon Tien Long serta disaksikan oleh Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. 

 

Menerusi perjanjian ini, FedEx akan berkongsi ilmu mengenai penghantaran rentas sempadan kepada PKS termasuk meningkatkan kesedaran pengusaha mengenai perkembangan logistik yang berteraskan kecekapan rantaian bekalan.

 

Selain itu, FedEx Malaysia juga akan berkongsi tentang pengoptimuman proses penghantaran barangan antarabangsa, menekankan penggunaan peralatan digital inovatif dalam industri serta menganjurkan seminar mengenai pematuhan syarat penghantaran perdagangan antarabangsa.  

 

Woon berkata perkongsian itu dengan MATRADE menunjukkan dedikasi FedEx Malaysia menyokong hasrat PKS mengembangkan perniagaan eksport ke peringkat antarabangsa.

 

“Kami yakin kerjasama bersama MATRADE akan mempercepatkan pertumbuhan PKS Malaysia di pentas global dan menyumbang kepada daya tahan ekonomi keseluruhan Malaysia dan rantau ini. 

 

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada PKS Malaysia malah boleh menyumbang kepada pengukuhan hubungan perdagangan antara Malaysia dan dunia,” jelasnya.

 

Kenyataan tersebut turut disokong oleh Mohd Mustafa yang mengulas, MoU itu merupakan inisiatif yang tepat pada masanya untuk merapatkan jurang antara syarikat Malaysia dengan pasaran antarabangsa, terutamanya melalui penggunaan rangkaian global FedEx. 

 

"Tujuan utama MATRADE jalin kerjasama dengan FedEx adalah untuk melengkapkan PKS dengan perkongsian pengetahuan dan kepakaran supaya dapat membantu mereka meluaskan jangkauan perniagaan dan jenama mereka ke luar negara. 

 

“Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran FedEx, kami boleh menyediakan platform yang lebih teguh untuk PKS berkembang maju dan berdaya saing dalam pasaran antarabangsa,” katanya. - DagangNews.com