MATTA Fair digital bermula esok | DagangNews Skip to main content

MATTA Fair digital bermula esok

Pelancongan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan menganjurkan MATTA Fair secara dalam talian atau digital bermula 23 hingga 30 September 2020.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, pameran yang akan dilangsungkan secara dalam talian itu menawarkan pelbagai pakej pelancongan domestik dan antarabangsa daripada 100 pempamer.

"Inisiatif digital ini adalah kali pertama diperkenalkan dan membolehkan ejen pelancongan, pengusaha dan penyedia perkhidmatan pelancongan menjual pakej mereka secara terus kepada pengguna dengan memberi tumpuan kepada pelancongan domestik.

"Inisiatif baharu ini juga adalah untuk memenuhi kehendak pelancong Malaysia yang mencari pakej percutian menarik," jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mengakui impak COVID-19 telah mengubah landskap pelancongan negara untuk bergerak dengan kaedah dan cara berbeza.

Tan Kok Liang
Tan Kok Liang 

 

Jelasnya, wabak tersebut secara dasarnya telah mengubah masa hadapan sektor pelancongan.

"Pandemik COVID-19 secara dasarnya telah mengubah masa depan sektor pelancongan dan kami berada dalam kedudukan untuk merebut peluang baharu dengan mengubah dan memungkinkan penemuan serta tempahan produk dan perkhidmatan melalui platform digital.

"MATTA Fair Dalam Talian memberi isyarat terhadap usaha MATTA untuk memulakan permulihan akibat kesan pandemik kepada industri pelancongan serta menimbulkan minta dalam kalangan pelancong ketika ini," jelas beliau lagi.

Maklumat lanjut berkaitan MATTA Fair 2020 boleh didapati melalui laman web rasmi MATTA di www.mattafaironline.com.my atau melalui media sosial MATTA Fair. 

Terdahulu, MATTA Fair telah melalui beberapa fasa peralihan tarikh penganjuran pameran berkenaan akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh negara.- DagangNews.com