Mavcom : Penambahbaikan hak pengguna, bayaran balik dijangka dilaksanakan pada suku pertama 2023  | DagangNews Skip to main content

Mavcom : Penambahbaikan hak pengguna, bayaran balik dijangka dilaksanakan pada suku pertama 2023 

KUALA LUMPUR 19 Okt - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerbitkan kertas rundingan mengenai cadangan pindaan terhadap Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) dengan menjangkakan penambahbaikan itu akan dilaksanakan pada suku pertama 2023.

 

Cadangan-cadangan pindaan terhadap MACPC termasuk perlindungan berkaitan bayaran balik, hak-hak penumpang, pas perjalanan dan penerbangan yang dikeluarkan daripada sistem tempahan syarikat penerbangan disebabkan pembatalan penerbangan.

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, suruhanjaya itu buat pertama kalinya telah menganjurkan webinar penerbangan antarabangsa pada 28 Jun 2022 bagi membincangkan perkembangan terkini mengenai perlindungan penerbangan global serta trend masa hadapan bersama-sama barisan pakar
daripada industri penerbangan dan perlindungan pengguna sedunia.

 

Katanya, webinar berkenaan beserta penglibatan bersama pihak berkepentingan dan analisis dilakukan terhadap aduan yang dikemukakan kepada Mavcom telah memberikan cadangan mengenai perkara-perkara dalam MACPC yang perlu diperhalusi dan ditambah baik.

 

"Sejak MACPC berkuat kuasa pada 2016, syarikat-syarikat penerbangan dikehendaki membayar balik pengguna penerbangan sekiranya penerbangan dibatalkan atau pelan penerbangan diubah dengan ketara.

 

"Salah satu penambahbaikan yang dicadangkan terhadap MACPC 2022 adalah bayaran balik dalam kaedah pembayaran asal bagi penerbangan yang tergendala.

 

Peruntukan baharu itu akan memastikan pembayaran balik yang konsisten kepada pengguna penerbangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, Mavcom turut mencadangkan bahawa syarikat penerbangan harus jua menawarkan pilihan bayaran balik dalam cara pembayaran asal sekiranya penerbangan ditangguhkan.

 

Kertas rundingan tersebut turut menampilkan cadangan peruntukan baharu untuk melindungi pengguna penerbangan yang telah membuat pembayaran terlebih dahulu bagi tiket penerbangan atau pas perjalanan.

 

Ia terpakai sekiranya syarikat penerbangan tidak dapat melaksanakan perkhidmatan seperti yang dijanjikan, seandainya berlaku krisis kewangan seperti penstrukturan semula hutang, pembubaran atau isu pelesenan.

 

Suruhanjaya itu berkata, apabila syarikat penerbangan menjangkakan gangguan kepada operasinya, cadangan pindaan baharu menghendaki syarikat penerbangan memaklumkan dan menyerahkan pelan yang memperincikan penyelesaian pembayaran balik kepada pengguna. - DagangNews.com