Mavcom selesaikan 1,100 aduan pada separuh pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

Mavcom selesaikan 1,100 aduan pada separuh pertama 2022

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 19 Sept - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah menerima 1,251 aduan pada separuh pertama tahun ini, dengan 99.1% atau 1,240 aduan diterima mengenai syarikat penerbangan, manakala 0.9% atau 11 aduan berkaitan lapangan terbang.

 

Menurut Laporan Pengguna dwi-tahunan keluaran ke-12 Mavcom untuk 1H22, data baharu ini menunjukkan peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 157 aduan yang dibuat dalam tempoh sama tahun lepas.

 

Laporan berkenaan menyediakan ringkasan yang jelas dan menyeluruh tentang keadaan industri penerbangan semasa tempoh pemulihan perjalanan udara selepas wabak dan kesannya terhadap pengguna.

 

Semakan Mavcom terhadap aduan yang diterima menunjukkan bahawa kira-kira satu perempat daripada aduan yang diterima pada 1H22 adalah mengenai syarikat penerbangan yang mengubah keputusan awal mereka dengan menyediakan penyelesaian yang lebih saksama atau memuaskan kepada pengguna.

 

Daripada jumlah aduan yang diterima, 87.9% atau 1,100 daripada jumlah aduan telah diselesaikan dan ditutup.

 

Selain itu, Mavcom turut menerima 1,317 aduan tidak boleh diambil tindakan, terdiri daripada 1,160 aduan dengan dokumentasi tidak lengkap dan 59 aduan yang mana syarikat penerbangan atau lapangan terbang berkenaan telah memenuhi kewajipan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

 

Selain itu, Mavcom turut menerima 35 aduan yang telah ditarik balik pengguna, 31 aduan di luar skop MACPC, 29 aduan berkaitan tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan dan tiga aduan yang dibuat lebih setahun selepas tarikh kejadian.

 

Laporan itu juga menunjukkan AirAsia menerima jumlah aduan tertinggi dari Januari hingga Jun 2022, iaitu 42.1% atau 527 jumlah aduan, diikuti Malaysia Airlines dengan 40.7% atau 509 dan Batik Air dengan 7.9% atau kira-kira 99 aduan.

 

Bagi setiap juta penumpang yang dibawa, Malaysia Airlines mencatatkan jumlah aduan berdaftar tertinggi dengan 199 aduan, diikuti Batik Air dengan 167 aduan dan AirAsia dengan 95 aduan.

 

Penjadualan semula penerbangan, pembatalan dan tempahan dalam talian secara kolektif menyumbang kepada 46.1% atau 577 daripada jumlah aduan yang difailkan.

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, perjalanan udara global menyaksikan pemulihan kukuh pada separuh pertama tahun ini, terutamanya apabila semakin banyak sempadan antarabangsa dibuka semula dan pengembara mengambil peluang untuk melancong ke luar negara, selain daripada perjalanan domestik yang lebih baik.

 

Beliau berkata, trafik penumpang meningkat daripada purata 2.9 juta antara Januari dan April 2022 kepada purata 4.79 juta antara Mei dan Jun 2022.

 

Dalam hal ini, penyedia perkhidmatan penerbangan Malaysia harus bersedia dengan mengambil kira pecahan aduan yang diperhatikan dalam laporan pengguna untuk menambah baik tahap perkhidmatan selanjutnya dan menangani punca isu semasa.

 

“Sebagai langkah proaktif oleh Mavcom, kami juga telah melibatkan penyedia perkhidmatan penerbangan secara aktif untuk memastikan isu ini ditangani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, sebelum memulakan perjalanan masing-masing, pengembara udara digalakkan untuk menggunakan ciri nasihat perjalanan dalam aplikasi mudah alih FlySmart.

 

Aplikasi itu menyediakan maklumat terkini mengenai keperluan perjalanan udara global untuk membantu pelancong membuat persediaan yang lebih baik di samping menanam keyakinan untuk melakukan perjalanan dan memastikan perjalanan yang lebih lancar.

 

"Selain itu, Mavcom sedang berusaha ke arah mempertingkatkan MACPC untuk melindungi pengembara udara dengan lebih lanjut dan terus memperkasakan mereka untuk melaksanakan hak mereka," katanya. - DagangNews.com