MAVCOM siasat syarikat penerbangan yang ubah jadual penerbangan sembarangan | DagangNews Skip to main content

MAVCOM siasat syarikat penerbangan yang ubah jadual penerbangan sembarangan

MAVCOM mengarahkan syarikat penerbangan mengemukakan semua data mengenai gangguan jadual penerbangan dari 29 April hingga 9 Mei 2022.

KUALA LUMPUR 11 Mei - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sedang menyiasat beberapa aduan mengenai syarikat penerbangan yang telah menggubah  jadual penerbangan secara sembarangan tanpa penghantaran notis yang mencukupi kepada pengguna. 

 

Sejajar dengan mandat untuk menegakkan hak pengguna, MAVCOM telah mengarahkan syarikat penerbangan mengemukakan semua data yang relevan mengenai gangguan jadual penerbangan sepanjang tempoh perayaan dari 29 April hingga 9 Mei 2022 bagi mendapatkan pandangan yang objektif, tepat dan komprehensif mengenai keadaan tersebut.

 

Ini termasuk jadual penerbangan sebenar berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula oleh semua syarikat penerbangan yang telah berlaku semasa tempoh perayaan, katanya dalam satu kenyataan.

 

Di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), syarikat penerbangan dikehendaki menyampaikan sebarang perubahan status penerbangan kepada pengguna secepat mungkin. 

 

“Untuk kelewatan dua jam atau lebih, syarikat penerbangan yang beroperasi mesti bertanggungjawab dalam menyediakan makanan, panggilan telefon dan akses Internet.

 

"Selain itu, bagi kelewatan lima jam atau lebih, syarikat penerbangan harus menyediakan penginapan, jika diperlukan  serta pengangkutan. Sekiranya masa penerbangan yang dijadualkan semula tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket penerbangan juga harus dibuat oleh syarikat penerbangan," jelasnya. 


 

Datuk Seri Saripuddin Kasim
                  Datuk Seri Saripuddin Kasim

 


Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata pengguna yang menghadapi kelewatan atau masalah penerbangan dan tidak mendapat layanan yang sewajarnya diminta membuat aduan rasmi kepada syarikat penerbangan berkenaan.

 

“Selain itu, pengguna digalakkan untuk mengemukakan aduan mereka kepada MAVCOM melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart bersama-sama dengan dokumentasi yang berkaitan bagi memudahkan penyiasatan.”

 

“Pada masa yang sama, MAVCOM sedang memperhalusi MACPC untuk memperkemas serta menambahbaik lagi perlindungan pengguna, terutamanya dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelumnya.”

 

“Isu ini merupakan perkara yang mendesak dan MAVCOM akan terus memastikan pemain industri kekal mematuhi MACPC dan hak-hak pengguna terus ditegakkan,”
katanya lagi. - DagangNews.com