Mavcom terima 1,403 aduan berkaitan bayaran balik akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Mavcom terima 1,403 aduan berkaitan bayaran balik akibat COVID-19

 

 

 
KUALA LUMPUR 19 Mac – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerima sebanyak 1,403 permintaan bayaran balik daripada pengguna berkaitan COVID-19 pada separuh kedua 2020.

 

Laporan Pengguna kesembilannya bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020, Mavcom juga mendapati 75% daripada permintaan tersebut disebabkan pengguna meminta bayaran balik dan kelewatan pembayaran. 

 

Bagi tempoh itu, sebanyak 428 aduan telah diterima dengan 99.3% berkaitan syarikat penerbangan manakala 0.7% terhadap operator lapangan terbang. 

 

Ini menunjukkan pengurangan sebanyak 45.3% daripada 783 aduan yang dibuat dalam tempoh yang sama pada 2019. 

 

Mavcom menegaskan bahawa 98.3% daripada 428 aduan telah berjaya diselesaikan dan ditutup.

 

"Berbanding syarikat penerbangan lain, AirAsia mencatatkan jumlah aduan tertinggi sebanyak 196 bagi tempoh itu diikuti Malaysia Airlines, 105 aduan dan AirAsiaX, 57 aduan," katanya. 

 

Terdapat 3 kategori aduan teratas bagi syarikat penerbangan membabitkan proses pembayaran balik, pembatalan penerbangan dan penjadualan semula penerbangan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62.8%. 

 

Bagi lapangan terbang pula, kebanyakan daripada aduan yang diterima adalah berkaitan dengan kemudahan dan keselamatan di lapangan terbang.

 

Dalam pada itu, Mavcom telah menerima 401 aduan yang tidak boleh diambil tindakan oleh suruhanjaya yang mana 270 daripada aduan tersebut tidak mempunyai dokumentasi lengkap dan tidak dapat dinilai secara adil. 

 

Mavcom juga telah menerima sebanyak 24 aduan di mana berdasarkan penilaian yang dibuat, syarikat penerbangan atau operator lapangan terbang berkenaan telah memenuhi tanggungjawab mereka di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC). 

 

"Sehubungan itu, tiada langkah lanjut perlu diambil oleh Mavcom. Aduan selebihnya adalah tidak berkaitan dengan industri penerbangan, berada di luar bidang kuasa MACPC atau telah ditarik balik oleh pengguna," tambahnya.

 

Laporan ini juga menunjukkan sebanyak 59% aduan yang diterima dari 1 Julai hingga 31 Disember 2020 mengakibatkan syarikat penerbangan menarik balik keputusan asal mereka dan memberikan resolusi lebih adil, serta memuaskan kepada pengguna berbanding dengan keputusan asal yang diberikan terlebih dahulu. 

 

Ini mewakili kenaikan 8% berbanding dengan tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa pemulihan sektor penerbangan negara ke status pra-pandemik akan memakan masa. 

 

"Walaupun terdapat prospek untuk melanjutkan perjalanan udara pada masa yang akan datang, Mavcom berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pemain industri untuk memastikan hak pengguna penerbangan terus dilindungi," katanya. - DagangNews.com