Maxim E-hailing tawar lesen PSV percuma kepada rakan pemandu baharu | DagangNews Skip to main content

Maxim E-hailing tawar lesen PSV percuma kepada rakan pemandu baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Orang ramai yang berminat menjana pendapatan menjadi rakan pemandu Maxim E-hailing boleh mengunjungi mana-mana sekolah memandu terdekat untuk memohon Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

 

Syarikat e-hailing itu berkata, pihaknya bekerjasama dengan beberapa sekolah memandu di seluruh Malaysia, bagi membantu bakal rakan kongsi pemandu untuk mendapatkan akses secara langsung lesen tersebut.

 

Katanya, lesen PSV membolehkan pemegang lesen tersebut memandu apa-apa jenis kenderaan sambil membawa penumpang secara berbayar bersama.

 

"Pemandu rakan kongsi e-hailing dikehendaki mendapatkan lesen PSV sebelum memulakan perjalanan dan ia merupakan lesen vokasional wajib yang perlu ada. 

 

"Terdapat potensi pemandu e-hailing yang menghadapi kesukaran untuk mencari bagaimana mendapatkan lesen PSV," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Maxim E-hailing berkata, terdapat sebuah kelas yang perlu dihadiri, dan institusi memandu akan membentangkan beberapa topik berkaitan dengan pelanggan, kewangan, garis panduan dan undang-undang. 

 

Katanya, tujuan utama kelas adalah untuk memastikan pemandu memahami tentang industri yang bakal disertai.

 

"Pemeriksaan kesihatan juga diwajibkan kepada bakal pemandu yang ingin memohon lesen PSV. Ini kerana pihak kerajaan mahu memastikan bakal pemandu berada dalam keadaan kesihatan yang baik sebelum mengambil  penumpang semasa dalam perjalanan," katanya.

 

Selain itu, terdapat dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan yang diperlukan untuk pendaftaran lesen.

 

Sementara itu, bagi menunjukkan sokongan kepada pemandu rakan kongsi, Maxim E-hailing akan membayar semula kos lesen PSV kepada mereka.

 

Pemandu rakan kongsi dikehendaki membawa resit ke pejabat Maxim E-hailing terdekat dan kakitangan sokongan akan membimbing mereka untuk menuntut kos lesen PSV. - DagangNews.com