Maxis, Blueshark dan JomCharge meterai MoU percepat pengunaan rumusan e-mobiliti | DagangNews Skip to main content

Maxis, Blueshark dan JomCharge meterai MoU percepat pengunaan rumusan e-mobiliti

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (duduk, kanan) bersama Pengerusi Maxis, Tan Sri Mokhzani Mahathir (duduk, kiri) di pameran E-Mobility Asia (EMA) 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Maxis memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Blueshark, penyedia skuter pintar terkemuka, dan EV Connection Sdn Bhd (EVC), pengendali rangkaian pengecas JomCharge, untuk mempercepatkan penggunaan rumusan e-mobiliti.

 

Sebagai sebahagian daripada MoU tersebut, Maxis akan menyediakan rumusan ketersambungan rangkaian 4G dan 5G kepada Blueshark dan EVC untuk menyokong keperluan e-mobiliti bagi aset dan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) mereka.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine berkata, pihaknya mempunyai keupayaan yang tepat untuk memenuhi keperluan perniagaan mobiliti pintar dari hujung ke hujung. 

 

"Kami berharap dapat memacu teknologi dan inovasi EV melalui penyelesaian perusahaan kami, termasuk IoT, awan, perkhidmatan terurus, serta ketersambungan 4G dan 5G," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (ASEAN) Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, Jin Chan berkata, pihaknya teruja mempunyai Maxis Business sebagai rakan dalam perjalanan mereka untuk menentukan masa depan mobiliti.

 

"Kelebihan Blueshark adalah dalam ketersambungan aplikasi kepada papan pemuka dan aliran data dua hala yang berterusan, yang mana pelanggan kami dapat memantau dan menjejaki statistik kenderaan mereka secara langsung dengan lancar dan serta-merta," katanya.

 

Pengarah Urusan EVC, Lee Yuen How pula berkata, sebagai salah satu pemain utama dalam industri EV, pihaknya mengenal pasti tiga cabaran utama, kebolehpercayaan sambungan, kemudahan pengurusan, dan daya saing kos. 

 

 

maxis

 

 

"Maxis menangani cabaran-cabaran tersebut dengan sambungan IoT mereka, memberikan kami liputan dan ketersambungan yang boleh dipercayai dengan platform analitik IoT, turut menyokong rangkaian pengecas JomCharge kami dengan nilai terbaik," katanya.

 

Dalam pada itu, Maxis juga akan meneroka rumusan digital inovatif dengan kedua-dua pihak untuk mempercepatkan penggunaan teknologi baharu dalam ekosistem EV. 

 

Sebagai permulaan, Maxis akan membangunkan papan pemuka ESG untuk membantu pelanggan Blueshark mengukur dan menganalisis jejak karbon mereka melalui skuter elektrik Blueshark.

 

Papan pemuka itu akan memanfaatkan keupayaan penuh Maxis yang merangkumi awan, analitik data, dan internet kebendaan (IoT). 

 

Rangkaian 4G dan 5G Maxis akan menyediakan ketersambungan penting bagi kenderaan-kenderaan Blueshark, memastikan pengumpulan data yang selamat dan boleh dipercayai untuk papan pemuka ESG tersebut dengan integrasi penuh antara muka pengaturcaraan aplikasi (API).

 

Maxis juga akan menyediakan ketersambungan rangkaian kepada stesen pertukaran bateri Blueshark, di seluruh Malaysia, untuk membantu mereka menganalisis dan menguruskan inventori bateri mereka. - DagangNews.com