KUALA LUMPUR 16 Ogos - Maxis dan China Mobile International (CMI) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) menubuhkan kerjasama strategik bagi mempercepatkan inisiatif 5G semasa Persidangan Kerjasama Asia Tenggara China Mobile di Bangkok.
MoU itu juga menggariskan persetujuan kedua-dua syarikat itu untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi memacu perkembangan sektor telekomunikasi .
Majlis menandatangani MoU tersebut dihadiri oleh Naib Presiden Eksekutif China Mobile Communications Group Co. Ltd.,Gao Tongqing, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CMI, Wang Hua dan Pemangku Ketua Pegawai Strategi Teknologi Maxis, Tan Cheng Peng.
Goh berkata, menerusi MoU itu, Maxis akan memanfaatkan kepakaran dan kecekapan teknikal pengendali telekomunikasi bersepadu itu untuk membangunkan penyelesaian 5G di Malaysia.
"Semua pihak dalam kerjasama ini dapat memanfaatkan pemahaman kami tentang keperluan perusahaan dan industri serta potensi 5G untuk memacu pertumbuhan dan kecekapan di Malaysia," ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Maxis, kerjasama ni akan memanfaatkan perkhidmatan maklumat komprehensif CMI, bersama dengan kepakarannya dalam infrastruktur tetap dan mudah alih, penyelesaian digital serta pangkalan pelanggan perusahaan tempatan yang signifikan.
"MoU ini menggariskan beberapa inisiatif utama, termasuk pembangunan rangkaian 5G persendirian, rundingan dan aplikasi 5G, penyelesaian taman pintar, kemajuan dalam kecerdasan buatan, dan projek penyelidikan dan pembangunan bersama.
"Kedua-dua syarikat juga akan memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran teknikal dan meneroka peluang pasaran baharu," ulas Maxis.
Di samping itu, MoU itu juga bertujuan untuk menghasilkan penyelesaian digital dan manawarkan perkhidmatan yang dipertingkatkan, mempercepatkan penerapan teknologi 5G di Malaysia.
Sementara itu, dengan menggabungkan sumber dan kepakaran mereka, CMI dan Maxis berhasrat untuk memacu kemajuan yang ketara dalam sektor telekomunikasi, mengembangkan ke pasaran baharu dan menyediakan penyelesaian canggih kepada pangkalan pelanggan global mereka.- DagangNews.com