Maxis mahu bawa pembaharuan di luar perniagaan utama - CEO | DagangNews Skip to main content

Maxis mahu bawa pembaharuan di luar perniagaan utama - CEO

Gokhan Ogut
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Salah satu syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia, Maxis Berhad berhasrat untuk terus membawa pembaharuan dalam bidang baharu, di luar perniagaan teras mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, syarikat telekomunikasi itu kekal fokus terhadap matlamat Maxis dan mahu terus dipacu oleh strategi pertumbuhan kukuh dan tujuan jenama mereka.

 

“Kami akan mempercepatkan usaha untuk memenuhi keperluan gaya hidup digital yang kian meningkat, serta membentuk semula Maxis dengan model operasi yang ditambah baik, dilengkapi dengan cara baharu untuk terus maju dalam industri ini,” katanya dalam laporan tahunan Maxis, di Bursa Malaysia hari ini.

 

Perniagaan Maxis juga tidak terkecuali daripada impak COVID-19 apabila mencatatkan keuntungan bersih bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020 (4Q20) merosot kepada RM319 juta berbanding RM353 juta pada suku keempat 2019.

 

Perolehan turut menyusut kepada RM2.26 bilion bagi tempoh sama, daripada RM2.59 bilion yang dicatatkan pada 4Q19.

 

Hasil daripada perkhidmatan juga turun kepada RM1.94 bilion berbanding RM1.99 bilion pada suku keempat 2019, sebahagian besar disebabkan oleh kekurangan sementara pendapatan perayauan antarabangsa ekoran COVID-19.

 

Tambah Ogut, liputan rangkaian 4G Maxis juga akan terus diperkukuhkan lagi untuk menawarkan pengalaman yang terbaik kepada pengguna. 

 

“Pelaburan yang berterusan dalam rangkaian kami membolehkan kumpulan syarikat berada di hadapan dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju industri dalam Laporan Prestasi Rangkaian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk empat tahun berturut-turut, begitu juga dalam laporan-laporan bebas lain,” katanya lagi.

 

Dari segi rangkaian 5G, syarikat telekomunikasi itu telah lama bersedia dengan rangkaian IP sedia ada selain turut melaksanakan percubaan 5G sejak tahun 2019, kata Ogut.

 

Ujar beliau, Maxis akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam menjadikan masyarakat digital yang berdaya saing dan mantap, menerusi pelancaran inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia. - DagangNews.com