Maxis mula guna kenderaan elektrik dalam operasi lapangan | DagangNews Skip to main content

Maxis mula guna kenderaan elektrik dalam operasi lapangan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Jan - Maxis mula beralih menggunakan kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat dalam operasi di lapangan bagi mengurangkan jejak karbon menerusi penyelesaian tenaga bersih.

 

Set EV pertama syarikat itu terdiri daripada enam kenderaan jarak jauh BYD Dolphin yang digunakan oleh pasukan operasi mudah alih dan gentian Maxis di wilayah Tengah dan Utara. 

 

Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Abdul Karim Fakir Ali berkata, inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan, tetapi mencerminkan kesungguhan Maxis untuk memupuk perubahan positif dalam industri telekomunikasi.


 
"Mengguna pakai EV juga adalah sejajar dengan usaha Maxis yang lebih luas untuk menyumbang kepada inisiatif-inisiatif global yang menangani perubahan iklim bagi mewujudkan kesan positif yang lebih berkekalan di planet ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan Maxis menyasarkan untuk menggantikan semua kenderaan pacuan dua roda (2WD) di tapak metro dan bandar dengan EV secara berperingkat dalam tempoh lima tahun. 

 

Syarikat tersebut mempunyai 40 kenderaan sedemikian dalam perkhidmatan.

 

max
Wakil pengurusan Maxis bersama kenderaan elektrik yang bakal digunakan dalam operasi lapangan.

 

"Langkah ini menekankan komitmen syarikat terhadap amalan mampan, meminimumkan jejak karbon dan mempromosikan masa depan yang lebih mesra alam," jelas Maxis.

 

Sebelum mengintegrasikan EV dalam operasi lapangan tahun ini, Maxis telah menjalankan percubaan bukti konsep dengan penyewaan dua EV untuk sokongan operasi tahun lepas. 

 

"Program perintis tersebut kini membolehkan pasukan-pasukan Rangkaian dan Kelestariannya untuk memajukan inisiatif EV syarikat tahun ini dengan pengumuman hari ini.

 

"Maxis juga telah menubuhkan infrastruktur pengecasan EV berkuasa slar di pusat operasi teknikal Subang Hi-Tech, Sungai Besi, Kepong, Rawang, Nilai, Seberang Perai dan Johor Bahru untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada kenderaan EV yang semakin berkembang," kata Maxis.- DagangNews.com