Maxis perkukuh usaha rasionalisasi kos dengan pelaburan gentian berterusan – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Maxis perkukuh usaha rasionalisasi kos dengan pelaburan gentian berterusan – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Maxis Berhad akan memperkukuh usaha rasionalisasi kosnya dengan pelaburan gentian yang berterusan sebagai sebahagian daripada program rasionalisasi kos tiga tahunnya, menurut RHB Investment.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan perusahaan akan berdasarkan ikatan dan kerjasama untuk mengekalkan kos perkhidmatan yang rendah.

 

"Ketangkasan kos lebih besar diperlukan disebabkan perubahan persekitaran operasi dan kawal selia, dengan strategi pengambilalihan lebih taktikal diguna pakai.

 

"Pengurusan melihat peluang selanjutnya untuk menguasai bahagian pasaran memandangkan pesaing lebih besar mengalih tumpuan kepada penyepaduan rangkaian," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investment, perniagaan ketersambungan teras kumpulan kekal sebagai tumpuan utama strategi keseluruhannya, dengan naratif yang telah diperhalusi bakal disampaikan tepat pada masanya kelak.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan berpendapat bahawa ketidaktentuan peralihan dasar kepada rangkaian 5G kedua yang berterusan akan mempunyai kesan ke atas prospek dividen dan perbelanjaan modal Maxis.

 

“Dengan ketidakpastian tentang potensi pelaburan dalam rangkaian 5G kedua (bergantung pada keputusan pelaburannya dalam Digital Nasional), kami melihat kumpulan itu mengekalkan pendirian konservatifnya terhadap pembayaran dividen (sasaran pembayaran berulang pada 75% daripada keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI),” tambahnya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘neutral’ pada saham Maxis dengan harga sasaran (TP) RM3.90 sesaham.

 

Setakat pukul 4:22 petang ini, saham Maxis menyusut 2 sen atau 0.5% kepada RM3.84 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM30.1 bilion. - DagangNews.com