Maxis sasar program eKelas Usahawan bantu 300 peserta wanita tahun ini | DagangNews Skip to main content

Maxis sasar program eKelas Usahawan bantu 300 peserta wanita tahun ini

Pengerusi Maxis, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda (dua dari kiri) bersama  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada majlis pelancaran Program eKelas Usahawan hari ini secara maya. Turut kelihatan,  Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut (kiri) dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha (kanan).

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Mac- Program eKelas Usahawan yang dianjurkan Maxis Berhad menyasarkan untuk membantu sehingga 300 peserta tahun ini. 

 

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, pihaknya bercadang untuk menganjurkan 10 sesi tahun ini dengan kehadiran 30 peserta setiap program. 

 

Katanya, program itu diadakan secara percuma dan dibiayai oleh Maxis untuk usahawan wanita yang berminat meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang keusahawanan. 

 

"Buat masa ini, bengkel pertama telah diadakan di Sabah pada 20 Mac lalu dan selepas ini, kami akan bergerak ke setiap negeri," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran program tersebut secara maya hari ini. 

 

 

Pelancaran eKelas Usahawan

 

 

Program itu dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. Yang turut hadir, Pengerusi Maxis, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut.

 

eKelas Usahawan merupakan sebuah program pemasaran digital berstruktur untuk memperkasa usahawan wanita dari masyarakat luar bandar untuk memperluaskan penggunaan digital.

 

Program ini merangkumi bengkel pemasaran digital dengan pendekatan praktikal untuk melengkapkan peserta dengan alat dan kemahiran digital yang mampu mengembangkan perniagaan dan pendapatan para usahawan.

 

Maxis bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan di beberapa negeri untuk mengenal pasti dan mendaftar usahawan untuk bengkel seharian. 

 

Modul program ini telah direka khas oleh rakan kerjasama kandungan dan latihan merangkumi panduan dan kemahiran asas fotografi digital, pemasaran dan pengiklanan melalui platform dalam talian dan media sosial serta pembayaran digital.

 

Sebelum ini, Maxis telah mengadakan bengkel pemasaran digital di beberapa negeri sejak beberapa tahun lalu sebagai projek perintis.

 

Memandangkan program ini mendapat sambutan yang positif dengan majoriti peserta adalah wanita, Maxis memutuskan untuk melancarkan eKelas Usahawan sebagai program khusus untuk wanita.

 

Sementara itu, Gokhan berkata, Maxis telah menggunakan apa yang dipelajari daripada pengalaman menghadapi pandemik dan mengembangkan usaha untuk terus menyokong komuniti serta mendorong penggunaan digital terutama dalam kalangan usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro. 

 

"Kami gembira melihat mereka memanfaatkan keupayaan digitalisasi. Semoga kejayaan mereka akan memberi kesan yang positif dan memberi inspirasi kepada lebih banyak usahawan wanita yang kami percaya mempunyai peranan penting dalam ekonomi negara," katanya. 

 

Rina dalam ucapannya berkata, kerajaan menyedari bahawa wanita yang diperkasakan secara kewangan adalah amat penting untuk pembangunan negara dan ekonomi

 

"Kementerian akan terus memberi sokongan kepada usahawan wanita sejajar dengan komitmen untuk mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan terutama bagi mereka yang berada dalam segmen B40," katanya. - DagangNews.com