Maxis sediakan penyelesaian bandar pintar projek The Light City di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Maxis sediakan penyelesaian bandar pintar projek The Light City di Pulau Pinang

(Dari kiri) Pengarah Urusan GlobalComm Telecommunications Sdn Bhd, Stuart Kang; Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad & Pengarah IJM Perennial Development Sdn Bhd, Datuk Wong Tuck Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng; Ketua Pegawai Operasi IJM Land dan Pengarah IJM Perennial Development Sdn Bhd.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Maxis, IJM Perennial Development Sdn Bhd dan GlobalComm Telecommunications Sdn Bhd bekerjasama menyediakan ketersambungan mudah alih dan tetap dalam projek pembangunan bercampur, The Light City di Pulau Pinang. 

 

Menurut Maxis, kerjasama itu bertujuan menyediakan penyelesaian bandar pintar dikendalikan oleh teknologi 5G-Advanced dan Internet Kebendaan (IoT) yang akan melengkapkan The Light City untuk menjadi pembangunan sedia masa hadapan bagi penduduk dan perniagaannya.

 

Kerjasama antara ketiga-tiga pihak itu dirasmikan semasa majlis memorandum persefahaman (MoU) di The Light City yang disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, syarikat telekomunikasi bersepadu itu komited untuk menyediakan ketersambungan pantas, selamat dan boleh dipercayai. 

 

"Kerjasama kami meletakkan The Light City di barisan hadapan dari segi teknologi akan memudahkan penerimagunaan aplikasi dan perkhidmatan inovatif, serta meningkatkan pengalaman gaya hidup keseluruhan penduduk dan perniagaan di pembangunan ini," ujar beliau. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation, Lee Chun Fai yang mewakili IJM Perennial Development berkata, usaha berterusannya dalam The Light City mencerminkan komitmen Kumpulan itu terhadap pembangunan bandar yang terancang dengan teliti bagi memenuhi keperluan masyarakat. 

 

"Menerusi kerjasama dengan Maxis dan GlobalComm Telecommunications, kami melengkapkan The Light City dengan infrastruktur sedia 5G yang penting bagi memastikan ketersambungan teguh yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perniagaan tetapi juga menyediakan infrastruktur digital negeri yang sejajar dengan objektif pendigitalan kerajaan,” ulasnya. 

 

Pengarah Urusan GlobalComm Telecommunications, Stuart Kang turut menekankan kerjasama itu mencerminkan komitmennya yang kukuh dalam menyediakan penyelesaian ketersambungan yang komprehensif, memenuhi keperluan ICT yang pelbagai bagi komuniti dan projek pembangunan.

 

Maxis berkata, projek itu dijangka siap secara berperingkat bermula pada suku pertama 2025. 

 

Katanya, The Light City akan menampilkan pusat konvensyen terbesar, gedung beli-belah tepi laut terbesar, hotel antarabangsa, menara komersial dan pejabat, serta kediaman bertingkat jenis mewah yang bakal menjadi salah satu pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.- DagangNews.com