Maxis tingkatkan pelan pascabayar 5G, tawar kelajuan tanpa had hingga 1,000GB | DagangNews Skip to main content

Maxis tingkatkan pelan pascabayar 5G, tawar kelajuan tanpa had hingga 1,000GB

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Maxis mempertingkatkan pelan-pelan Maxis Pascabayar 5G, yang kini menawarkan sehingga 1,000 gigabait (GB) dalam data bonus 5G. 

 

Dilengkapi dengan kelajuan tanpa had yang kini sudah dinikmati pelanggan, Maxis Pascabayar memberikan pelanggan pengalaman 5G yang sebenar merentasi semua pelan-pelannya.

 

Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Loh Keh Jiat berkata, pihaknya berbesar hati untuk memperkenalkan pelan-pelan kami yang dipertingkatkan bagi menawarkan pelanggan pengalaman 5G yang unggul, serta pilihan pemilikan peranti yang diperluaskan untuk memberikan mereka lebih nilai dan fleksibiliti.

 

"Memandangkan penerimagunaan awal yang menggalakkan bagi pelan-pelan 5G kami, kami akan meneruskan usaha memacu penggunaan 5G melalui rangkaian 5G kami yang pantas dan boleh dipercayai.

 

"Ia termasuk penawaran yang menumpukan pelanggan supaya para pengguna boleh bergantung kepada kami untuk semua keperluan mudah alih mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pelan-pelan Maxis Pascabayar 79, 109, 139, 169 dan 199 kini menyediakan data 5G bonus tambahan pada gandaan kuota 4G/5G bagi setiap pelan. 

 

Data 5G tambahan bermula daripada 80GB untuk Maxis Pascabayar 79, satu kali kuota teras 80GB 4G/5G pelan tersebut, sehingga 1,000GB untuk Maxis Pascabayar 199, iaitu lima kali ganda kuota 200GB 4G/5G pelan tersebut.

 

 

maxis

 


    
Tanpa sekatan kelajuan, para pelanggan bagi mana-mana pelan boleh menikmati pengalaman lancar tanpa kerisauan pada rangkaian 5G Maxis yang pantas dan boleh dipercayai, merentasi keperluan penstriman, permainan, pelayaran, video dan produktiviti mereka.

 

Data bonus 5G juga akan memastikan mereka mempunyai data yang mencukupi untuk semua aktiviti mudah alih dan penggunaan data mereka, termasuk untuk peranti yang disambung melalui hotspot tanpa sebarang had sehingga kuota data mereka. Semua pelan juga menyediakan panggilan dan SMS tanpa had.

 

Pada masa sama, Maxis membolehkan pelanggan memiliki peranti 5G terbaru dengan menambahkan pilihan peranti yang boleh didapati melalui kontrak dengan pelan Maxis Pascabayar 79 dan 109, serta menyediakan tawaran akhir tahun yang menarik untuk memberi nilai yang lebih.

 

Pelanggan juga mempunyai pelbagai pilihan peranti yang mudah dimiliki di bawah Maxis Zerolution, pelan ansuran dengan faedah 0% selama 24 atau 36 bulan. - DagangNews.com