Maybank Ageas cadang terbitkan bon RM3 bilion | DagangNews Skip to main content

Maybank Ageas cadang terbitkan bon RM3 bilion

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Kumpulan insurans milik Malayan Banking Bhd (Maybank), Maybank Ageas Holdings Bhd telah mencadangkan untuk menerbitkan bon tanpa jaminan dan subordinat bernilai RM3 bilion bagi menyediakan modal dan pembiayaan kepada anak syarikat Maybank Ageas Singapura berikutan pertumbuhan luar biasa anak syarikatnya pada tahun 2020 dan separuh pertama pada tahun 2021.

 

Menurut RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings), anak syarikat Maybank Ageas di Malaysia tidak akan memerlukan dana sedemikian untuk beberapa tahun akan datang, berdasarkan unjuran baru-baru ini.


"RAM Rating telah memberikan penarafan AA2 / Stabil kepada program bon subordinat RM3 bilion yang dicadangkan oleh Maybank Ageas.

 

"Penarafan tersebut mencerminkan status bon sebagai obligasi tidak bercagar dan subordinat kumpulan (Maybank Ageas). Kami juga telah mempertimbangkan profil kredit kumpulan Maybank Ageas, subordinasi strukturalnya sebagai syarikat induk bukan entiti insurans terkawal," katanya.

 

Maybank Ageas merupakan kumpulan  insurans dan takaful domestik  yang beroperasi di bawah jenama Etiqa di Malaysia dan Singapura.

 

Ditubuhkan pada tahun 2001, Maybank Ageas adalah perkongsian antara Maybank dan Ageas Insurance International NV, yang memiliki baki 30.95% Maybank Ageas.
 


"Maybank adalah satu kumpulan perkhidmatan kewangan terbesar di rantau ASEAN mengikut ukuran aset manakala Ageas adalah kumpulan insurans yang berpangkalan di Belgium dengan perniagaan nyawa dan bukan nyawa di 14 negara di seluruh Eropah dan Asia.



"Anak syarikat kumpulan (Maybank Ageas) di Malaysia dan Singapura telah beroperasi di bawah jenama Etiqa sejak 2007, dengan Singapura menjadi penyumbang keuntungan kecil sekitar 3% daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan," katanya. -DagangNews.com