KUALA LUMPUR 19 Jan - Kumpulan AmBank dan Malayan Banking Bhd (Maybank) telah bersama-sama memasuki transaksi pertukaran kadar faedah (IRS) kadar semalaman Malaysia (MYOR) pertama negara, dengan nilai nosional RM500 juta.
Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu berkata transaksi tersebut menandakan kali pertama kadar rujukan MYOR baharu yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia pada September tahun lepas digunakan sebagai alternatif kepada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) untuk transaksi IRS.
“Secara global, kadar rujukan alternatif seperti MYOR telah diperkenalkan untuk meningkatkan integriti kadar penanda aras kewangan sebagai sebahagian daripada peralihan kepada kadar berasaskan transaksi, yang timbul daripada pembaharuan Kadar Tawaran Antara Bank London (LIBOR) berikutan krisis kewangan global.
"Kadar rujukan alternatif ini dimaksudkan sebagai kadar penanda aras yang lebih teguh dan berdasarkan urus niaga dalam pasaran aktif dan cair.
"Kerjasama antara Maybank dan AmBank ini adalah satu langkah ke arah memperkenalkan produk berasaskan MYOR ke pasaran dengan tujuan menyediakan instrumen lindung nilai yang boleh menyokong pelbagai strategi pengurusan risiko,” kata kedua-dua kumpulan perbankan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bendahari kumpulan AmBank dan Timbalan Pengarah Urusan Perbankan Borong, Jamzidi Khalid berkata, urus niaga itu melengkapkan usaha berterusan untuk terus membangunkan dan mendalami pasaran kewangan Malaysia, selaras dengan inisiatif yang diterajui industri yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan bank pusat dan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM).
“Kami bersyukur dan sememangnya berbesar hati untuk mengusahakan urus niaga MYOR IRS yang penting ini dengan Maybank.
Ini merupakan satu peristiwa penting dalam pasaran kewangan Malaysia, dan kami berharap untuk melihat perkembangan selanjutnya sambil kami melangkah lebih dekat ke arah menerima pembaharuan.
“Urus niaga itu menunjukkan semangat dan komitmen bank untuk menyampaikan penyelesaian berkesan tepat pada masanya yang sesuai dengan keperluan pelanggan kami dan pada masa yang sama, menyumbang kepada keluasan pasaran dan kecairan dalam membangunkan landskap kadar faedah tempatan,” katanya. -DagangNews.com