Maybank Asset Management lancar dana global alam sekitar perkukuh penawaran produk ESG | DagangNews Skip to main content

Maybank Asset Management lancar dana global alam sekitar perkukuh penawaran produk ESG

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Maybank Asset Management Sdn Bhd (Maybank Asset Management) memperluaskan penawaran produk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi pelancaran MAMG Global Environment Fund, sebuah dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang diperakui mengikut takrif Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab. 

 

MAMG Global Environment Fund merupakan dana induk berasaskan ESG daripada Maybank Asset Management. Dana ini melabur dalam Dana BNP Paribas Global Environment (dana sasaran), sebuah dana ekuiti global yang berpangkalan di Luxembourg. 

 

Dana ini melabur pada syarikat-syarikat yang aktif dalam sektor alam sekitar dan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tumpuan Dana Sasaran ini adalah industri tenaga baharu, makanan mampan, air, ekonomi kitaran, alam sekitar pintar, pengangkutan yang bersih dan cekap. 

 

Bagi memastikan matlamat pelaburannya tercapai, sekurang-kurangnya 90% daripada nilai aset bersih (NAV) dana ini akan dilabur dalam dana sasaran dan maksimum 10% NAV pula dalam bentuk aset cair, bertujuan menghasilkan pulangan jangka panjang dan di atas pasaran. Dana Sasaran ini turut menerima pengiktirafan label SRI dan Towards Sustainability.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management, Ahmed Muzni Mohamed berkata, sejak Maybank Asset Management merintis langkah ESGnya pada 2020 dengan menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan yang sama kecenderungan di peringkat rantau dan global.

 

"Ia bertujuan memperluas dan mengukuhkan kepentingan “melabur ke arah kemampanan” kepada para pelabur kami yang memiliki kesedaran sosial, bagi membina dunia dan ekonomi yang mampan. Sukacita dimaklumkan bahawa para pelabur kami kini mempunyai lebih kesedaran dan minat dalam dana berkaitan ESG.   

 

"Hari ini, kami dengan bangganya memperkenalkan MAMG Global Environment Fund, sebuah dana yang memberi para pelabur kami akses kepada perniagaan yang berkembang pantas dalam pelbagai industri, dengan tumpuan pada pengurangan sisa, pemuliharaan atau penjagaan alam sekitar, serta penggunaan inovasi dan teknologi bagi menyediakan penyelesaian yang mampan.

 

"Pengenalan dana terbaharu ini akan mengukuhkan lagi nilai ESG kami, di samping membantu para pelabur beralih kepada amalan mampan, memberi akses kepada penyelesaian kewangan yang menepati keperluan mereka dan akan memberi nilai tambah kepada masyarakat dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Jualan Pengantara, Hong Kong dan Asia Tenggara BNP Paribas Asset Management, Guenter Tschiderer pula berkata, pelaburan mampan bertema kini semakin menarik minat para pelabur. 

 

"Malah kami menjangkakan lebih banyak peluang pelaburan yang bertemakan ruang alam sekitar akan tersedia. Ini termasuklah syarikat-syarikat yang mengkhusus dalam memenuhi permintaan global yang sentiasa meningkat untuk penyelesaian yang meningkatkan kecekapan tenaga, menangani pencemaran dan mengurangkan sisa.  

 

"Kami tetap komited terhadap ruang ini, sebagai sebahagian daripada pendekatan kemampanan BNP Paribas Asset Management yang memandang ke hadapan. Matlamat kami adalah membantu para pelabur memanfaatkan peluang dalam sektor pertumbuhan pesat yang tidak mudah dikendali, menerusi pengalaman terbukti pasukan pelaburan global kami dan rekod cemerlang yang terbukti berjaya.                   

 

"Di samping itu, BNP Paribas AM turut memastikan bahawa strategi tersebut boleh memenuhi matlamat kewangan dan sosial klien kami. Ini penting seiring dengan pelbagai cabaran yang kita hadapi masa kini dan bagaimana isu-isu alam sekitar dan sosial global menjadi ketara dengan begitu pantas pada hari ini –dalam bentuk gelombang haba dan bencana banjir di serata dunia," katanya. - DagangNews.com