Maybank bank pertama di Malaysia perkenalkan strategi pelepasan yang dibiayai Skop 3 | DagangNews Skip to main content

Maybank bank pertama di Malaysia perkenalkan strategi pelepasan yang dibiayai Skop 3

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Maybank telah menetapkan garis asas pelepasan dibiayai Skop 3 dan mengenal pasti strategi peralihan yang akan membentuk portfolio perniagaan masa depannya, menjadikan ia bank pertama di Malaysia untuk berbuat demikian. 

 

Ini mendekatkan bank kepada sasaran kedudukan setara karbon sifar bersih menjelang 2050 apabila ia mula melakar sasaran pengurangan pelepasan yang dibiayai mengikut garis masa ditetapkan.

 

Bagi pihak bank, pelepasan yang dibiayai ialah pelepasan tidak langsung berkaitan dengan pinjaman, penaja jaminan, pelaburan dan sebarang perkhidmatan kewangan lain. Pelepasan yang dibiayai adalah input diperlukan untuk analisis senario iklim, dan ini penting dalam mengurus risiko dan peluang dalam peralihan berkaitan iklim.

 

Dalam melaksanakan langkah ini untuk menetapkan garis asas pelepasan yang dibiayai, Maybank telah mengikuti piawaian Perakaunan dan Pelaporan GHG Global untuk Industri Kewangan oleh Perkongsian untuk Kewangan Perakaunan Karbon. 

 

Metodologi ini memberi tumpuan kepada pengiraan pelepasan untuk enam kelas aset, iaitu Ekuiti Tersenarai & Bon Korporat, Pinjaman Perniagaan & Ekuiti Tidak Tersenarai, Pembiayaan Projek, Hartanah Komersial, Gadai Janji dan Pinjaman Kenderaan Bermotor.

 

Ekuiti Tersenarai & Bon Korporat, Pinjaman Perniagaan & Ekuiti Tidak Tersenarai serta Pembiayaan Projek membentuk hampir 80% daripada pelepasan yang dibiayai kumpulan. 

 

Lima sektor teratas yang menyumbang kepada kebanyakan pelepasan yang dibiayai oleh Maybank ialah tenaga, minyak dan gas, pertanian, utiliti dan pembinaan. Sebanyak 97% daripada pelepasan yang dibiayai oleh Maybank datang dari pasaran tempatan Malaysia, Singapura dan Indonesia.

 

 

maybank
Datuk Khairussaleh Ramli

 

 

Dengan mengira dan menganalisis data pelepasan dibiayai, Maybank kini boleh maju ke arah melaksanakan analisis senario kuantitatif untuk mereka bentuk hala tuju dalam mengurangkan pelepasan yang dibiayainya selaras dengan kesanggupan bank mengambil risiko dan sasarannya sambil berhubung dengan pelanggan untuk mencapai hasil dan komitmen diingini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, aspek kritikal untuk mencapai kedudukan karbon sifar bersih termasuk mewujudkan garis asas pelepasan dibiayai Skop 3 Bank, menganalisis pemacu utama pelepasan, merangka rancangan mengurangkan pelepasan ini mengikut garis masa dan melaksanakan rancangan tersebut.

 

“Pengamalan dasar ini telah membolehkan kami membahagi pelepasan kami mengikut geografi, kelas aset dan sektor, yang kemudiannya membolehkan kami menumpu usaha kami untuk berhubung dengan pelanggan yang boleh memberi impak terbesar dalam mengurangkan pelepasan yang dibiayai dalam jangka panjang. 

 

"Langkah kami seterusnya adalah berhubung dan bekerjasama dengan pelanggan dan pemegang berkepentingan utama termasuk pengawal selia dan kementerian untuk melaksanakan strategi peralihan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Strategi peralihan Maybank akan memberi tumpuan kepada lima sektor dalam jangka sederhana. Matlamatnya adalah untuk menyokong pelanggan untuk menyahkarbon, mempercepatkan pelaburan berbeza dalam pembiayaan mampan dan menerajui pembinaan kapasiti dan penyelesaian dalam industri. - DagangNews.com