Maybank diiktiraf sebagai Bank Digital Pengguna Terbaik Dunia 2020 | DagangNews Skip to main content

Maybank diiktiraf sebagai Bank Digital Pengguna Terbaik Dunia 2020

Anugerah Bank Digital Pengguna Terbaik Dunia 2020

KUALA LUMPUR 17 Ogos -  Malayan Banking Bhd. (Maybank) berjaya diiktiraf sebagai bank digital pengguna terbaik di Malaysia dan Indonesia sebagai pemenang Pusingan Pertama bagi Anugerah Bank Digital Pengguna Terbaik Dunia 2020 di Asia-Pasifik.

Anugerah berprestij itu turut menobatkan Maybank sebagai penerima Anugerah Reka Bentuk Laman Web Terbaik.

Global Finance dalam kenyataannya hari ini berkata, pemenang bagi Pusingan Pertama adalah termasuk beberapa ketegori lain seperti Bank Digital Pengguna Terbaik, Bank Digital Korporat/Institusi Terbaik serta Bank Digital Islam Terbaik di peringkat negara.

"Pemenang dipilih di Afrika, Asia Pasifik, Eropah Tengah dan Timur, Amerika Latin, Timur Tengah, Amerika Utara dan Eropah Barat.

"Pemenang dipilih berdasarkan penyertaan dan dinilai oleh barisan hakim di peringkat dunia di Infosys iaitu syarikat perkhidmatan digital dan perundingan global," jelas Global Finance.

Selain itu, para editor majalah Global Finance turut bertanggungjawab dalam proses pemilihan akhir kesemua pemenang.

Jelas Global Finance lagi, anugerah hanya akan diberikan kepada bank yang turut serta dalam pertandingan tersebut.

"Hanya bank yang sertai pertandingan akan dipertimbangkan untuk memenangi sebarang anugerah, anugerah ini juga hanya akan diberikan mengikut wilayah negara dan kategori yang disertai," tambah Global Finance.

Keputusan anugerah tersebut dibuat berdasarkan beberapa kriteria seperti kekuatan strategi untuk menarik dan berhubung dengan pelanggan digital, kejayaan mendapatkan pelanggan menggunakan penawaran digital, pertumbuhan pelanggan digital, penawan produk, bukti kadar faedah nyata yang dicatat melalui inisiatif digital.

Selain kelebihan tersebut, reka bentuk dan fungsi laman web yang ditonjolkan oleh bank turut diambil kira dalam keputusan tersebut.

Pemenang Pusingan Dua akan diumumkan pada Oktober dan akan diterbitkan dalam edisi keluaran Disember. - DagangNews.com