Maybank IB jangka sentimen pengguna lemah pada 2024 kesan kenaikan harga makanan, belanja isi rumah | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka sentimen pengguna lemah pada 2024 kesan kenaikan harga makanan, belanja isi rumah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan sentimen pengguna lemah pada 2024 kesan peningkatan kos makanan dan perbelanjaan isi rumah.

 

Katanya, pertumbuhan jualan runcit menyusut secara beransur-ansur selepas memuncak sebanyak 38% pada Julai 2022 kepada antara 5% hingga 6% bermula Mei 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tanpa sebarang pemangkin penting untuk meningkatkan perbelanjaan akibat tekanan inflasi kos yang berterusan, syarikat runcit pengguna di bawah liputan kami mungkin mencatatkan pertumbuhan jumlah jualan yang lebih perlahan pada 2024.

 

Kecuali MR DIY Group (M) Berhad dan Padini Holdings Berhad yang mungkin terlindung daripada beban penarikan balik perbelanjaan kerana daya tarikan pasaran selain produk mampu milik.

 

"Kami bimbang tabiat semasa pengguna akan memberi kesan yang lebih buruk apabila cukai baharu dilaksanakan pada tahun ini.

 

"Kesan kumulatif daripada kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan kepada 8%, kemungkinan kenaikan tarif air, penarikan semula subsidi petrol/diesel, dan pengenalan cukai barang bernilai rendah berkuat kuasa 1 Januari 2024 baru-baru ini akan hanya memberi tekanan tambahan kepada keseluruhan pendapatan boleh guna pengguna," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), corak perbelanjaan purata pengguna Malaysia kebanyakannya terdiri daripada perumahan, utiliti, air dan gas, selain makanan dan minuman, diikuti restoran dan penginapan serta pengangkutan.

 

Katanya, harga makanan dijangka naik pada 2024 dan mereka menolak kemungkinan kenaikan harga selanjutnya kerana cabaran operasi berterusan, dalam bentuk kos tenaga kerja dan utiliti yang lebih tinggi selain turun naik harga bahan mentah bagi pengeluar makanan domestik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu," katanya.​ - DagangNews.com