Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek ViTrox kesan kelemahan permintaan, campuran produk tidak menggalakkan | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek ViTrox kesan kelemahan permintaan, campuran produk tidak menggalakkan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal berhati-hati terhadap prospek ViTrox Corp Bhd kesan daripada kelemahan pemintaan disebabkan ekonomi global perlahan dan campuran produk yang tidak menggalakkan.

 

Katanya, keadaan itu menyebabkan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) 4QFY24 menguncup 7ppts dari tahun ke tahun. 

 

"Walaupun berlaku pemulihan berterusan dalam pasaran semikonduktor tetapi ia tidak selaras dengan pendedahan kumpulan dalam semua sektor. 

 

"Oleh sebab itu, kami menurunkan ramalan pendapatan kumpulan sebanyak 20% dan 23% bagi FY24 dan FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Vitrox pada 4QFY23 susut kepada RM24.4 juta berbanding RM48.6 pada 4QFY22 dengan hasilnya susut 25.1% kepada RM142.23 juta daripada RM190 juta.

 

Bagi FY23, untung bersih kumpulan susut 36.1% kepada RM128.3 juta berbanding RM200.82 juta pada FY22.

 

Hasil kumpulan itu merosot 23.4% kepada RM574.92 juta daripada RM750.25 juta kesan daripada kelembapan pasaran yang menjejaskan permintaan perkhidmatan pemeriksaan papan automatik dan perniagaan sistem penglihatan mesin. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kelemahan pendapatan pada suku keempat berpunca daripada kelemahan permintaan global tetapi kesan penurunan adalah suatu kejutan yang negatif kepada kumpulan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM7.90 sesaham," katanya. - DagangNews.com