Maybank IB kekal saranan 'beli', TP RM7.25 ke atas MAHB berdasarkan peningkatan trafik antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal saranan 'beli', TP RM7.25 ke atas MAHB berdasarkan peningkatan trafik antarabangsa

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) mengekalkan saranan 'beli' terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM7.25.

 

Firma itu berkata, saranan itu dibuat berdasarkan peningkatan trafik penumpang antarabangsa bagi operasi MAHB di Malaysia.

 

Katanya, aliran trafik penumpang antarabangsa mencatatkan pemulihan yang lebih pantas daripada jangkaan walaupun kadar tambang penerbangan mencatatkan kenaikan kerana berlaku lonjakan ketara dari segi bahan api selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1April 2022.

 

Selain itu, ia juga didorong oleh keputusan kerajaan menamatkan syarat ujian COVID-19 kepada pengunjung yang tiba ke Malaysia pada 1 Mei 2022.

 

"Kami menyemak turun unjuran kerugian MAHB bagi FY22 sebanyak 14% dan mengekalkan unjuran pendapatan anggaran bagi FY23 berikutan pertambahan keyakinan terhadap anggaran pendapatan jangka panjang.

 

“Selepas Malaysia memansuhkan pas pengembara berkuat kuasa 4 Julai, kami menjangkakan bahawa trafik penumpang negara akan terus mencatatkan pertambahan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kapasiti tempat duduk tempatan dan antarabangsa MAHB pada Julai 2022 masing-masing hampir mencecah 90% dan 50% daripada tahap ketika tahun kewangan 2019.

 

"Difahamkan penumpang antarabangsa di Malaysia mencapai sekitar 50,000 setiap hari bagi tempoh beberapa hari pertama bulan ini.

 

“Pada kadar ini, trafik penumpang antarabangsa di Malaysia boleh mencecah 33% pada Julai 2022 daripada tahap sebelum COVID-19,” katanya. - DagangNews.com