Maybank IB kekal unjuran harga minyak mentah Brent sekitar AS$75-AS$80 setong bagi 2022 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal unjuran harga minyak mentah Brent sekitar AS$75-AS$80 setong bagi 2022

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Maybank Investment Bank (IB) Research mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent pada AS$75 hingga AS$80 setong pada 2022. 

 

Penganalisisnya, Liaw Thong Jung berkata, sekiranya harga terus mengukuh sepanjang tahun ini dan melepasi sasarannya, ia tidak menolak sebarang peningkatan aktiviti atau perbelanjaan modal (capex) mulai separuh kedua dan seterusnya.  

 

"Dalam hal ini, modal menjadi kunci utama, kerana harga minyak yang lebih tinggi boleh mendorong kepada kos yang lebih tinggi dan ketidaktentuan, kemerosotan dan kebimbangan kepada pemulihan yang mampan dalam pasaran," katanya dalam nota kajian. 

 

Berdasarkan perancangan peruntukan capex Petronas sebanyak RM40 hingga RM45 bilion setahun bagi tempoh 5 tahun, syarikat minyak negara itu memperuntukkan 9% daripada keseluruhan capex untuk agenda tenaga hijau. 

 

Antara matlamatnya, termasuklah menyasarkan untuk mencapai komitmen pelepasan sifar karbon menjelang 2050. 

 

Pada 28 Disember lalu, Petronas mengeluarkan laporan Tinjauan Aktiviti Petronas (PAO) untuk 2022-2024 yang menunjukkan nada optimis tetap berhati-hati terhadap prospek 2022 tetapi meningkat secara positif bagi 2023-2024 berdasarkan kepada tahap aktiviti yang dirancang. 

 

Dalam laporan itu juga menunjukkan prospek peralihan tenaganya semakin menunjukkan peningkatan dengan penekanan lebih besar kepada hidrogen.

 

Laporan tahunan PAO membentangkan trend industri, tinjauan permintaan dan aktiviti akan datang bagi perniagaan huluan, gas + tenaga baharu dan hiliran Petronas.

 

Berikutan prospeknya yang lebih positif terhadap 2023-2024, Thong Jung berkata, syarikat minyak dan gas (O&G) seperti Velesto Energy Bhd., Icon Offshore Bhd., Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MMHE), Wah Seong Corp. Bhd. dan Dialog Group Bhd. akan menjadi penerima manfaat utama daripada aktiviti Petronas di peringkat domestik dalam tempoh 3 tahun akan datang.   

 

"Dari segi segmen pula, Icon/Velesto kekal menjadi proksi utama bagi program penggerudian manakala MMHE/Wah Seong/Dialog adalah bagi kerja-kerja fabrikasi, salutan paip dan penyelenggaraan.

 

"Sementara itu, Icon turut mendapat daripada pendedahan kepada ruang kapal sokongan luar pesisir (OSV)," katanya.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB mengulangi pandangan 'positif' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) bagi tahun ini. - DagangNews.com