Perbelanjaan pengguna, pemulihan eksport dan projek prasarana antara faktor pertumbuhan ekonomi 2024 diunjur 4.4% | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan pengguna, pemulihan eksport dan projek prasarana antara faktor pertumbuhan ekonomi 2024 diunjur 4.4%

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Feb - Perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan mengambil kira dasar monetori yang stabil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 3% pada 2024 sekali lagi menjadi salah satu faktor membolehkan pertumbuhan ekonomi tahun ini kekal diunjurkan melebihi 4.4%.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, selain faktor OPR, perbelanjaan pengguna turut bergantung kepada pasaran buruh yang mana pada tahun 2024 kadar pengangguran dijangkakan kekal berada pada 3.4% selain langkah-langkah mengimbangi inflasi yang diumumkan kerajaan dalam Belanajwan 2024.

 

Firma penyelidikan itu turut menggariskan pemulihan dalam eksport barangan dan perkhidmatan di tengah-tengah tanda-tanda peningkatan sektor pembuatan yang disokong oleh industri teknologi kitar semula bagi menyokong unjuran tersebut.

 

"Pemulihan industri pelancongan juga dijangkakan terus mengekalkan momentum yang mana ketibaan pelawat ke Malaysia bakal mencecah kepada paras sebelum pandemik.

 

"Momentum pertumbuhan pelaburan juga positif dengan pelaburan sektor swasta yang diluluskan berjumlah RM250 bilion setahun, kali pertama sejak 2021 yang kini diterjemahkan ke dalam peningkatan pelaburan direalisasikan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jumaat lalu, BNM memaklumkan ekonomi Malaysia susut kepada 3.7 peratus pada 2023, berikutan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (2022: 8.7 peratus).

 

Pertumbuhan menjadi sederhana dalam persekitaran luaran yang mencabar disebabkan terutamanya oleh perdagangan global yang lebih perlahan, kitaran menurun teknologi global, ketegangan geopolitik dan dasar monetari yang lebih ketat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pertumbuhan ekonomi Malaysia menyusut ke paras 3.7 peratus pada 2023 daripada 8.7 peratus pada 2022

 

Menurut Maybank IB, unjuran pertumbuhan ekonomi 4.4% bagi 2024 turut mengambil kira kemajuan dalam pelaksanaan projek infrastruktur utama ketika ini.

 

Katanya, projek-projek itu antaranya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 Lembah Klang (KVLRT3), Lebuh Raya Pan Borneo dan Projek Transit Bas Rapid (BRT).

 

"Turut terdapat prospek projek baru iaitu Laluan Aliran Transit Massa 3 (MRT3),  LRT dan BRT di Pulau Pinang dan Johor Bahru, tambahan stesen KVLRT3 dan juga naik taraf beberapa lapangan terbang.

 

"Antaranya lapangan terbang Subang, Pulau Pinang dan Tawau," jelas firma penyelidikan itu.- DagangNews.com