Pertumbuhan ekonomi Malaysia menyusut ke paras 3.7 peratus pada 2023 daripada 8.7 peratus pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan ekonomi Malaysia menyusut ke paras 3.7 peratus pada 2023 daripada 8.7 peratus pada 2022

Menurut BNM, inflasi teras kekal sederhana pada 2024.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 Feb - Ekonomi Malaysia susut kepada 3.7 peratus pada 2023, berikutan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (2022: 8.7 peratus).

 

Pertumbuhan menjadi sederhana dalam persekitaran luaran yang mencabar, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Bank pusat itu berkata ini disebabkan terutamanya oleh perdagangan global yang lebih perlahan, kitaran menurun teknologi global, ketegangan geopolitik dan dasar monetari yang lebih ketat.

 

Pada suku keempat, ekonomi Malaysia berkembang 3.0 peratus pada suku keempat 2023 (S3 2023: 3.3 peratus; S2 2023: 2.9 peratus), menurut BNM.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ekonomi catat pertumbuhan 3% pada suku keempat 2023, dibantu perbelanjaan isi rumah ketika eksport lemah - BNM

 

Perbelanjaan isi rumah kekal disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dan tekanan kos yang berkurangan.

 

Kadar pengangguran menurun kepada paras pra-pandemik sebanyak 3.3 peratus manakala kadar penyertaan tenaga buruh berada pada paras tertinggi dalam sejarah pada 2023.

 

Sementara itu, pertumbuhan dalam aktiviti pelaburan disokong oleh realisasi progresif projek berbilang tahun dan pengembangan kapasiti oleh firma.

 

Eksport, walau bagaimanapun, kekal lemah berikutan kelemahan permintaan luar negeri yang berpanjangan berikutan import yang lebih kukuh.

 

Dari segi penawaran, terdapat pengembangan berasaskan luas.

 

Sektor komoditi berkembang, disokong oleh pengeluaran minyak dan gas yang lebih tinggi serta pengembangan dalam sektor pertanian dalam keadaan bekalan buruh yang bertambah baik.

 

Sektor perkhidmatan dan pembinaan terus berkembang. Sektor pembuatan kekal lemah berikutan kelemahan berterusan dalam industri elektrik dan elektronik. Dari segi keluaran dalam negara kasar bulanan.

 

Disember mencatatkan pertumbuhan 1.4 peratus, lebih rendah daripada November (3.8 peratus) dan Oktober (3.9 peratus), disebabkan terutamanya oleh tempoh cuti sekolah yang lebih pendek pada bulan itu dan sektor perkilangan berorientasikan eksport yang lebih lemah. - DagangNews.com