Maybank IB kekalkan unjuran harga minyak AS$100 setong bagi 2022-2023 ekoran langkah yang diambil OPEC+ | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekalkan unjuran harga minyak AS$100 setong bagi 2022-2023 ekoran langkah yang diambil OPEC+

Ia adalah pengurangan terbesar dilaksanakan OPEC+ sejak tercetusnya pandemik COVID-19 pada 2020. - Gambar : Waldemar Brandt/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Okt - Maybank Investment Bank (IB) mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent sekitar AS$100 setong bagi 2022-2023 susulan langkah Pertubuhan Negara Pengeluar Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mengekalkan pengeluaran minyak sehingga dua juta tong sehari pada November 2022.

 

Penganalisisnya, Liaw Thong Jung berkata, langkah yang diambil OPEC+ itu akan menyaksikan harga minyak mentah terus kekal tinggi. 

 

Katanya, kumpulan itu bersetuju mengurangkan kuota pengeluaran itu bagi meningkatkan semula harga minyak mentah, setelah jatuh kepada AS$80 setong baru-baru ini.

 

"Ini adalah pengurangan terbesar dilaksanakan OPEC+ sejak tercetusnya pandemik COVID-19 pada 2020, lebih tinggi berbanding unjuran pasaran iaitu satu juta tong sehari.

 

"Langkah ini dilihat mengukuhkan pengaruhnya dalam menentukan kestabilan dan hala tuju pasaran minyak. 

 

"Malah, ia juga bertentangan dengan tindakan yang diambil Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan harga minyak dengan meningkatkan pengeluaran," katanya dalam nota kajian.

 

Baca : OPEC : Malaysia kurangkan pengeluaran kepada 567,000 tong sehari

 

Daripada jumlah, sebanyak 53% pengurangan pengeluaran datangnya dari Arab Saudi dan Rusia masing-masing sebanyak 526,000 tong sehari. 

 

Sementara itu, 10 negara OPEC iaitu Algeria, Angola, Congo, Guinea, Gabon, Iraq, Kuwait, Nigeria, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Saudi mengurangkan 1.3 juta tong sehari. 

 

Negara bukan OPEC pula yang terdiri daripada Azerbaijan, Bahrain, Brunei, Kazakhstan, Malaysia, Oman, Mexico, Sudan, Sudan Selatan dan Rusia mengurangkan 727,000 tong sehari.

 

Semalam, harga minyak melonjak selepas OPEC+ yang diterajui Rusia mengumumkan pemotongan pengeluaran secara besar-besaran.

 

Di Vienna, menteri-menteri dari 13 negara pakatan OPEC dan kumpulan 10 pengeksport diterajui Russia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari bermula November.

 

Ia pemotongan terbesar sejak kemuncak pandemik COVID-19 pada 2020 dan keputusan diambil di sebalik kebimbangan ia boleh melonjakkan lagi inflasi dan menyebabkan bank-bank pusat menaikkan lebih banyak kadar faedah.

 

Harga minyak merosot beberapa minggu kebelakangan ini ke paras sebelum perang di Ukraine berikutan kebimbangan kelembapan global, namun melonjak sejak beberapa hari lalu dengan jangkaan pengeluaran akan dikurangkan.

 

Thong Jung berkata, langkah yang diambil OPEC+ itu dilihat sangat masuk akal kepada negara pengeluar minyak, dari segi ekonomi, operasi dan politik, memandangkan kekangan dalam kapasiti ganti dan realiti ketidakupayaan kolektifnya untuk memenuhi kuota pengeluaran.

 

"Sebelum ini, pengeluaran OPEC+ jatuh kira-kira 3.6 juta tong sehari daripada sasaran pengeluarannya pada Ogos 2022," jelasnya.

 

Firma itu menjangkakan kemasukan bekalan baharu akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun berikutan struktur kekurangan pelaburan yang berlaku dalam tempoh 2015 hingga 2021. - DagangNews.com