Maybank IB mulakan liputan terhadap Hibiscus dengan saranan 'beli', TP RM1.70 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan terhadap Hibiscus dengan saranan 'beli', TP RM1.70

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Feb - Maybank Investment Bank (IB) Research memulakan liputan terhadap Hibiscus Petroleum Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM1.70. 

 

Firma itu melihat Hibiscus adalah pilihan saham terbaik bagi kitaran dan kenaikan pasaran harga tenaga. 

 

Kumpulan juga, katanya mempunyai asas yang kukuh dengan kedudukan kewangan berdaya tahan, dikendalikan dengan baik dan menawarkan pertumbuhan menarik. 

 

"Merupakan operator huluan minyak dan gas (O&G) yang tulen, ia paling banyak mendapat kelebihan daripada kitaran O&G bagi memanfaatkan dorongan tenaga yang kukuh. 

 

"Ini akan menyaksikan pendapatannya bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 berkembang antara 35 hingga 54% bagi setiap kenaikan AS$10 setong harga minyak," katanya dalam nota kajian bertarikh 15 Februari lalu.

 

Malah, Maybank IB menyifatkan ciri-ciri luar biasa Hibiscus ialah rekod prestasi pengambilalihan dan penggabungan (M&A) yang sempurna.

 

Ini terbukti apabila kumpulan berupaya meneroka (menerusi urus niaga Anasuria, North Sabah & Repsol), membangunkan (mengembangkan rizab 2P, sumber dan pengeluaran 2C), penyampaian (pertumbuhan pendapatan, aliran tunai) di samping mengekalkan disiplin modal yang ketat dengan tertumpu kepada kos dan pendapatan bersih. 

 

Pada 25 Januari lalu, Hibiscus menerusi anak syarikat milik penuhnya, Peninsula Hibiscus Sdn. Bhd. berjaya menyelesaikan pembelian keseluruhan ekuiti dalam Fortuna International Petroleum Corporation (FIPC) daripada Repsol bernilai AS$212.5 juta. 

 

"Secara dasarnya M&A dengan Repsol ini memberi banyak perkembangan positif, antaranya, dapat meningkatkan pengeluaran/rizab 2P/sumber 2C sebanyak 3x/2x/2x.

 

"Selain itu, ia juga menawarkan Hibiscus dengan prospek untuk mempelbagaikan aset portfolio kepada 17% gas, 83% minyak (berbanding sebelum itu 2% gas:98% minyak), yang merupakan aspek paling penting dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan dan peralihan tenaga," jelasnya.

 

Pada masa sama, firma itu turut melihat peningkatan yang lebih tinggi sekiranya ia berjaya menukar beberapa sumber 2C yang besar (73.2m bbls) kepada rizab 2P dan/atau menjana pengewangan beberapa bidang pembangunannya (contohnya Marigold, Australia).

 

Setakat 11.28 pagi ini, harga saham Hibiscus susut 1 sen atau 0.87% kepada RM1.14 dengan 31.73 juta saham diniagakan. - DagangNews.com