Maybank IB mulakan liputan terhadap Swift Haulage dengan saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan terhadap Swift Haulage dengan saranan 'beli'

Dalam tempoh jangka panjang, Swift Haulage akan memberi fokus untuk memperkukuhkan pengembangan perniagaannya. - Gambar : Facebook Swift Haulage
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Sept - Maybank Investment Bank (IB) memulakan liputan terhadap Swift Haulage Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran 65 sen. 

 

Pertumbuhan jangka pendek kumpulan disokong oleh pengembangan kapasiti baru-baru ini dengan penambahan 30 penggerak utama baharu, pengembangan gudang secara berterusan dan usaha baharu dalam logistik rantaian sejuk.

 

Menurut firma itu, dalam tempoh jangka panjang, Swift Haulage akan memberi fokus untuk memperkukuhkan pengembangan perniagaannya menerusi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), peningkatan bahagian pasaran dan memanfaatkan bank tanah kosong bagi menjana pulangan.

 

"Sebagai proksi kepada pelaburan logistik rantaian bekalan, ia menyaksikan permintaan untuk logistik rantaian bekalan telah meningkat dengan ketara, sebahagiannya didorong oleh peningkatan e-dagang, ditambah dengan trend ke arah integrasi rantaian bekalan oleh perniagaan global untuk mewujudkan sistem yang berdaya tahan dan boleh dipercayai.

 

"Ini telah dipercepatkan dengan tercetusnya wabak COVID-19, dan Swift Haulage berada pada kedudukan yang baik dalam pasaran (dengan model perniagaan pemilikan asetnya) bagi meraih pertumbuhan dalam jangka panjang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Swift Haulage adalah penyedia perkhidmatan logistik bersepadu terkemuka, beroperasi dalam segmen seperti pengangkutan kontena, pengangkutan darat, pergudangan dan depoh kontena serta penghantaran barang.

 

Kekuatannya terletak pada keupayaannya untuk mencipta nilai melalui kejayaan M&A, rangkaian liputan secara meluas, bahagian pasaran ketara dan kecekapan operasi yang tinggi.

 

Kumpulan juga menjalin hubungan yang kukuh dengan pelanggan mewah, yang menawarkan aliran hasil yang stabil dan berdaya tahan, serta peluang untuk peningkatan bahagian pasaran.

 

Oleh itu, Maybank IB mengunjurkan Swift Haulage akan mencatat keuntungan besih teras dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 11% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) hingga FY24.

 

Katanya, ia disokong langkah pengembangan kapasiti dan pemulihan daripada kesan asas rendah disebabkan gangguan pandemik.

 

"Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan margin, hasil daripada kecekapan operasi dan skala ekonomi yang lebih baik," katanya.

 

Setakat 2.49 petang, harga sahamnya menokok 1 sen atau 2.06% kepada 49.5 sen dengan 623,500 saham diniagakan. -DagangNews.com