Maybank IB positif terhadap prospek sektor sarung tangan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB positif terhadap prospek sektor sarung tangan pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif terhadap prospek sektor sarung tangan pada 2024.

 

Katanya, walaupun jumlah jualan kekal tidak menentu dengan masa menunggu lebih singkat kerana pembeli tidak tergesa-gesa mengunci kontrak disebabkan lebihan bekalan dalam pasaran sarung tangan, jumlah jualan telah meningkat dengan ketara dari suku tahun ke suku tahun dalam kalangan pembuat sarung tangan Malaysia.

 

Penambahbaikan itu boleh dikaitkan dengan peningkatan aktiviti penyimpanan semula dan jurang harga yang lebih rendah berbandingpengeluar dari China (sebanyak AS$2-AS$3 setiap 1,000 keping).

 

"Kami menjangkakan kadar penggunaan loji akan meningkat pada suku akan datang, mencapai antara >35% hingga 45% hingga 50% (dari julat semasa 35% hingga 40% hingga 45%) membawa kepada kos pengeluaran yang lebih rendah pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga bahan mentah mula stabil selepas melonjak pada November 2023.

 

Katanya, harga lateks asli dan lateks nitril kini berada pada AS$1.16/kg dan AS$0.77/kg, masing-masing turun -3% dan -1%, sejak November 2023.

 

Selain itu, harga gas asli (sumber tenaga utama bagi pembuat sarung tangan Malaysia; membentuk 16% hingga 20% daripada jumlah kos) juga mencatatkan penurunan.

 

"Bagaimanapun, kos gas asli pembuat sarung tangan dijangka lebih tinggi pada 1QCY24 tetapi ia akan turun kemudian, mungkin dari pertengahan 2024, berikutan harga antarabangsa.

 

"Ini akan mengurangkan kesan ke atas keuntungan dan menjadikan harga lebih kompetitif," katanya.- DagangNews.com