Maybank IB semak naik unjuran untung bersih MNRB sebanyak 41% bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak naik unjuran untung bersih MNRB sebanyak 41% bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran untung bersih MNRB Holdings Berhad sebanyak 41% bagi FY23 berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi menerusi bahagian insurans semula dan pendapatan pelaburan lebih tinggi.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan bagai FY24 dan FY25 buat masa sekarang kerana pendapatan daripada pelaburan merupakan komponen yang tidak stabil.

 

"Kami menjangkakan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 17 (MFRS 17) akan memberi impak negatif kepada pendapatan bahagian Takaful Keluarga," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM71.23 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berakhir 31 Disember 2022, berbanding kerugian bersih RM22.11 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Pendapatan bagi suku dalam tinjauan juga meningkat kepada RM924.79 juta daripada RM836.29 juta sebelumnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan dalam tinjauan, keuntungan bersih meningkat 13.7% kepada RM72.0 juta daripada RM63.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Firma itu berkata, keputusan kewangan kumpulan itu melebihi jangkaan sebanyak 83% daripada unjuran tahun penuh mereka sebelum ini.

 

Katanya, kumpulan itu mendapat manfaat pada suku tersebut daripada keuntungan nilai saksama yang lebih tinggi, didorong oleh hasil bon yang lebih rendah.

 

"Ia diimbangi sebahagiannya oleh nisbah gabungan yang lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 105% bagi 9MFY23, berbanding jangkaan tahun penuh kami sebanyak 100%.

 

"Tidak termasuk kesan banjir pada penghujung 2021, keuntungan bersih 9MFY23 kumpulan ialah RM88.6 juta berbanding RM82.2 juta pada 9MFY22," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.04 berbanding 90 sen sesaham. - DagangNews.com