KUALA LUMPUR 6 Jan. - Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) masih mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini kepada 5.1% berbanding ramalan penguncupan 2020 sehingga 5.4%.
Selepas berdepan krisis kesihatan dan ekonomi pada tahun lalu, impak daripada penularan COVID-19 mungkin berkurangan memandangkan ekonomi dijangka berada dalam landasan pemulihan.
Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias menjelaskan gelombang ketiga COVID-19 yang menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan terus menjadi faktor penurunan terutama dari segi pembukaan semula sempadan negara.
“Kita telah menyaksikan rancangan Singapura dan Hong Kong untuk melaksanakan gelembung perjalanan ditangguhkan kerana isu ini,” katanya kepada media.
Sebelum ini, dalam beberapa nota kajian Maybank IB sememangnya meletakkan unjuran KDNK bagi tahun ini setakat 5.1%.
Baca : Maybank IB kekalkan unjuran KDNK 2021 5.1%
Ini berbeza dengan unjuran KDNK yang dibuat kerajaan di mana menyaksikan julat pertumbuhan ekonomi antara 6.5% hingga 7.5%.
Bagi tahun ini pula, kerajaan menjangkakan KDNK bakal menguncup sehingga -5.5%.
Dalam pada itu, isu pengangguran terus menjadi kebimbangan utama dalam pasaran buruh.
Tambah Suhaimi, pasaran buruh itu dijangka kekal tidak menentu walaupun ramai rakyat yang kembali memperoleh pekerjaan.
Jelasnya, kekurangan pekerjaan menjadi isu utama dalam pasaran buruh. - DagangNews.com