Maybank Islamic bantu golongan terkesan COVID-19 di 11 negara | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic bantu golongan terkesan COVID-19 di 11 negara

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 20 April - Maybank Islamic Berhad membantu lebih 5,000 keluarga yang terkesan akibat COVID-19 di 11 buah negara dengan menyalurkan bantuan pek makanan bersempena bulan Ramadan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, sumbangan berkenaan diagihkan kepada individu atau keluarga khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas punca pendapatan.

 

Selain golongan berkenaan, bantuan berkenaan turut disampaikan kepada ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), nelayan, petani serta mereka yang hilang pekerjaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Kami berharap dengan bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban dan kos perbelanjaan seharian terutama kepada mereka yang memerlukan ketika menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

 

“Pada tahun ini kami memfokuskan kepada golongan yang terjejas dengan pandemik COVID-19 dan buat julung kalinya diperluaskan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membantu golongan pekerja asing yang merantau ke sana terutama mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan sokongan.

 

"Kami secara rasminya telah membuka cawangan di Dubai International Financial Centre (DIFC) pada Februari 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

Sejak tahun 2013, Maybank Islamic telah memperuntukan hampir RM14 juta untuk program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada hampir 120,000 keluarga kurang berkemampuan.

 

Bagi tahun 2021, Maybank Islamic telah memperuntukan dana lebih RM13 juta melalui program tanggungjawab korporat yang akan diagihkan sepanjang tahun 2021 melalui 4 tonggak utama iaitu pendidikan, bantuan kemanusiaan, kewangan sosial Islam dan ihsan.

 

Tambah beliau, program tersebut juga selaras dengan misi kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di seluruh cawangan Maybank beroperasi dan selaras dengan prinsip maqasid Syariah dan maslahah (kebaikan) umum yang ditekankan oleh Syariah.

 

Program tahunan Regional Ramadhan Relief (Ramadhan Relief Serantau) 2021 dijalankan dengan kerjasama lima pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO) iaitu Islamic Relief Malaysia (IRM), MERCY Malaysia, Islamic Aid Malaysia (IAM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Ikhlas.

 

“Kami berasa amat bersyukur kerana tahun ini merupakan tahun kesembilan program ini dilaksanakan yang memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand, Kemboja, Brunei, Dubai dan komuniti terpinggir Myanmmar iaitu etnik Rohingya," katanya lagi. - DagangNews.com