Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Dis - Maybank Islamic dan Etiqa mengumumkan inisiatif pemasangan stesen pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) di Dataran Maybank selaras dengan usaha bank dan syarikat insuran berkenaan dalam menggerakkan organisasi ke arah mencapai matlamat agenda kemampanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato' Mohamed Rafique Merican berkata inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada usaha Kumpulan Maybank untuk menyediakan pelanggan dengan kemudahan untuk mengecas kenderaan elektrik mereka serta merangsang pertumbuhan penggunaan EV di negara ini.
Katanya, kedua-dua institusi kewangan di bawah Kumpulan Maybank itu telah bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengecasan EV tempatan, ParkEasy untuk menempatkan empat stesen pengecasan Dataran Maybank, masing-masing dua di bawah tajaan Maybank Islamic dan Etiqa.
Ujarnya, Maybank Islamic juga komited untuk menambahstesen pengecasan EV ini di lokasi lain yang akan dikenalpasti.
"Seperti yang diumumkan baru-baru ini, kami akan terus komited terhadap rancangan kemampanan kami untuk menjadi organisasi yang bertanggungjawab, mempromosikan ekonomi rendah karbon, memacu inovasi untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik dan juga memimpin melalui teladan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Empat pengecas itu diletakkan di Menara B Dataran Maybank, tempat letak kenderaan perimeter yang paling hampir dengan cawangan Premier Wealth Centre serta tempat letak kereta tingkat bawah bangunan premis berkenaan untuk kegunaan orang ramai dan pekerja Maybank.
Pengecas elektrik tersebut boleh diakses melalui aplikasi yang akan membolehkan pelanggan dan pekerja Maybank membuat pra-tempahaan perkhidmatan dan membuat pembayaran tanpa tunai.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Etiqa Insurance & Takaful berharap dengan menyediakan kemudahan pengecasan EV di tempat letak kereta bawah bangunan ini lebih ramai pekerja akan terdorong utuk beralih kepada kereta elektrik, sekali gus membawa peralihan ke arah penggunaan EV sepenuhnya.
“Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Etiqa untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.
"Dengan keadaan kecemasan iklim semasa, sudah tiba masanya untuk setiap daripada kita bersatu dan menerima pakai pelan pengurangan karbon bukan sahaja dalam operasi harian tetapi juga gaya hidup kita,” tambahnya. -DagangNews.com