Maybank Kim Eng: Ekonomi 2021 diunjur lebih rendah, 4.2% | DagangNews Skip to main content

Maybank Kim Eng: Ekonomi 2021 diunjur lebih rendah, 4.2%

ANAND PATHMAKANTHAN (kiri) dan Suhaimi Ilias (kanan) pada taklimat secara maya berhubung prospek ekonomi 2H21, hari ini.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Maybank Kim Eng mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2021 lebih rendah pada kadar 4.2% dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Ketua Ahli Ekonomi di Maybank Kim Eng, Suhaimi Ilias berkata, firmanya menyemak turun pertumbuhan KDNK 2021 daripada 5.1% setelah mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’.

 

“Kami berpatah semula kepada unjuran awal pertumbuhan ekonomi 2021, sekitar penghujung tahun lalu. Secara dasarnya, semak turun ini dipengaruhi oleh (prestasi) sektor bekalan serta komponen perbelanjaan swasta.

 

“Dari segi defisit fiskal, kami menyemak naik unjuran kepada 6.8% daripada 6.0% sebelum ini, memandangkan terdapat pakej rangsangan tambahan yang diumumkan kerajaan, setakat tahun ini,” katanya dalam satu taklimat secara maya mengenai prospek separuh kedua 2021 (2H21) ekonomi Malaysia oleh Maybank Kim Eng, hari ini. 

 

GDP
UNJURAN KDNK oleh Maybank Kim Eng bagi tahun 2021 hingga 2022. - Sumber Maybank Kim Eng

 

Mengulas lanjut mengenai unjuran KDNK mengikut bulanan pada tahun 2021, beliau meramalkan pertumbuhan penanda aras ekonomi tersebut akan melonjak pada April 2021, sebelum menyaksikan pertumbuhan perlahan pada Mei dan merudum pada Jun tahun ini. 

 

Ini berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Maybank Kim Eng, di mana menurut Suhaimi, meliputi beberapa sektor dan ‘kayu ukur’ utama seperti pembuatan, perlombongan dan harga minyak sawit mentah (MSM). 

 

Walaupun unjuran KDNK disemak turun, namun beliau percaya Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% bagi sepanjang tahun ini.

 

Mengulas mengenai pasaran ekuiti Malaysia, Ketua Penyelidikan Ekuiti Maybank Kim Eng, Anand Pathmakanthan dalam taklimat sama mengunjurkan KLCI bakal mengakhiri tahun 2021 pada 1,720 mata. 

 

Berbeza dengan prestasi positif pada tahun lalu, katanya, KLCI ketinggalan jika dibandingkan dengan pasaran ekuiti di negara serantau pada separuh pertama tahun 2021 (1H21). 

 

Beliau bagaimanapun optimis indeks itu akan bertambah baik bermula suku keempat 2021 (4Q21) di sebalik, antaranya kadar vaksinasi yang meningkat dan Parlimen mula dibuka. - DagangNews.com