Maybank labur RM1.6 juta melalui penyelidikan ESG bagi pacu inisiatif peralihan tenaga ASEAN | DagangNews Skip to main content

Maybank labur RM1.6 juta melalui penyelidikan ESG bagi pacu inisiatif peralihan tenaga ASEAN

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Kumpulan Maybank memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta melalui inisiatif 'Enhanced Environment, Social and Governance (ESG) Research' yang dilancarkan sempena Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

 

Dalam mencapai matlamat inisiatif penyelidikan baharu ini, peruntukan untuk tempoh dua tahun itu untuk pensijilan profesional dan peningkatan kemahiran, selain meningkatkan keupayaan penganalisisnya dalam penyelidikan ESG. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, NETR akan mempercepatkan permintaan untuk sumber tenaga bersih dan pembiayaan untuk infrastruktur baharu, teknologi dan penyahkarbonan industri intensif tenaga. 

 

"Dengan keupayaan penyelidikan yang meluas, kami berada di posisi secara strategik untuk menjadi rakan kongsi sesuai dalam perjalanan peralihan sifar bersih pelanggan kami. Aspirasi kami adalah untuk menjadi pemain utama dalam ekosistem karbon dan menyumbang kepada masa depan yang mampan untuk Malaysia dan ASEAN.

 

"Dengan analisis yang lebih terperinci di bawah Maybank Enhanced ESG Research, pelabur akan lebih bersedia untuk menilai kecukupan inisiatif ESG syarikat dan peluang dan risiko peralihan. Ini sepatutnya meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di ASEAN, yang kami anggap sebagai suatu rantau selamat dalam masa yang tidak menentu," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Maybank Enhanced ESG Research bertujuan untuk memberikan pandangan ESG yang boleh diguna pakai untuk memikirkan rumusan peralihan tenaga dan penyahkarbonan untuk pelanggan di seluruh kumpulan dan menyokong cita-cita NETR dan Aspirasi Rendah Karbon 2050 kerajaan.

 

Sebagai perintis penyelidikan ESG untuk ekuiti, Maybank telah diiktiraf oleh industri untuk analisis mendalam syarikat dan perkembangan tenaga boleh diperbaharui di ASEAN. 

 

 

maybank

 

 

Maybank merupakan salah satu bank pertama di rantau ini yang telah menubuhkan pasukan penyelidikan ESG, menerbitkan penyelidikan ESG, dan menyediakan penarafan dan pemarkahan ESG tersendiri. 

 

Sehingga 30 Jun 2023, 100% daripada semua syarikat di bawah liputan penyelidikannya mempunyai fakta analisis ESG bagi isu E, S dan G, dan 60% telah dinilai dan diberi skor ESG mengikut metodologi Maybank.

 

Maybank akan terus membina dalam kelebihannya sebagai penggerak pertama untuk mengembangkan dan mengoptimumkan tema penyelidikan ESG serantau dan liputan saham. 

 

Di bawah inisiatif Maybank Enhanced ESG Research, analisis ESG akan ditingkatkan dan disepadukan ke dalam analisis kewangan untuk menilai kesan faktor ESG material terhadap risiko dan peluang syarikat termasuk hasil, kos dan nilai perusahaannya. 

 

Ia juga merangkumi “Impact Analysis” mengenai kecukupan sasaran kemampanan, penjajaran dengan piawaian industri dan tindakan berimpak. 

 

Pada penghujung suku pertama 2023, Maybank menggerakkan secara kumulatif kewangan mampan sebanyak RM38.8 bilion, daripada sasarannya sebanyak RM80 bilion menjelang 2025; secara kumulatif meningkatkan kehidupan 969,091 orang di seluruh ASEAN (sasaran 2 juta menjelang 2025) dan mengurangkan 41% pelepasan Skop 1 dan 2 berbanding garis dasar tahun 2019.

 

Daripada jumlah kewangan mampan yang digerakkan kumpulan, ia termasuk RM480 juta untuk tahun pembiayaan kenderaan elektrik (EV) setakat ini, peningkatan 54% daripada RM310 juta pada 2022. - DagangNews.com