Maybank naik taraf lebih 90% pekerja bukan perkeranian, nikmati 10% kenaikan gaji | DagangNews Skip to main content

Maybank naik taraf lebih 90% pekerja bukan perkeranian, nikmati 10% kenaikan gaji

Nora Manaf bersama para pekerja bukan perkeranian Maybank yang berjaya menamatkan program Pendaya Tempat Kerja bagi sesi 2021/2022.

KUALA LUMPUR 26 April - Kira-kira 93% pekerja bukan perkeranian Maybank telah berjaya menghabiskan program Pendaya Tempat Kerja (WE) Bank dan telah dinaik taraf kepada gred Perkeranian dengan mereka kini membawa gelaran WE. 

 

Sebagai tambahan kepada kenaikan pangkat dan penukaran gelaran korporat, mereka juga menikmati kenaikan 10% kepada gaji asas.

 

Program unik ini, dipercayai yang pertama di Malaysia telah dilancarkan pada Januari 2021 bertujuan menyediakan kakitangan bukan perkeranian dengan kemahiran baharu untuk mempercepatkan perkembangan kerjaya mereka dan memikul tanggungjawab yang lebih besar. 

 

Ia juga menawarkan mereka peluang untuk ditugaskan semula ke bahagian lain bank di mana mereka bukan sahaja boleh menggunakan keupayaan mereka yang baru diperoleh, tetapi juga menyesuaikan diri dengan persekitaran yang mengalami perubahan berterusan, terutama sebagai tindak balas kepada pendigitalan serta pandemik.

 

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Manaf berkata, kejayaan penambahbaikan ini akan memberi impak yang lebih besar dalam kalangan pekerja sejajar dengan rancangan M25 kumpulan untuk mencapai pertumbuhan mampan dan kecemerlangan operasi.

 

"Dengan WE dalam tenaga kerja, kami bukan sahaja ingin mengekalkan pekerja kami tetapi juga untuk meningkatkan nilai pekerjaan mereka supaya mereka bermotivasi untuk menyampaikan pengalaman dan tahap perkhidmatan yang lebih kukuh di tempat kerja masa hadapan, bersedia dan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi perubahan dan cabaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Inisiatif WE, yang menelan belanja kira-kira setengah juta ringgit dan memanfaatkan lebih 360 kakitangan bukan perkeranian di seluruh operasi Maybank di Malaysia adalah program latihan selama 8 bulan.

 

Program ini memberi fokus kepada pembelajaran berasaskan pengalaman yang terdiri daripada 4 fasa iaitu tetapan konteks dan penetapan minda yang betul, kemahiran semula dan pembinaan keupayaan, pembelajaran tambahan dan nasihat serta pembelajaran rakan sebaya dan sokongan berterusan.

 

Untuk membolehkan mereka menjalankan tugasan dengan baik dalam peranan baharu mereka, setiap WE akan berpasangan dengan ‘rakan’ untuk membantu mereka dalam pelbagai aspek tanggungjawab baharu.

 

Dengan kejayaan menghabiskan program ini, WE telah dilengkapi dengan kemahiran yang relevan untuk berkembang maju di tempat kerja baharu, yang akan diterjemahkan kepada prospek kerjaya yang lebih baik dan produktiviti yang lebih tinggi untuk mereka, serta peningkatan prestasi dalam memacu pengalaman pelanggan bertaraf dunia.

 

Menurut Nora, sebagai sebahagian daripada misi kumpulan untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan, satu sesi temu-mesra juga dijalankan dengan baki 7% yang tidak berjaya seperti rakan sejawatan mereka, untuk mengenal pasti jurang dan peluang untuk penambahbaikan melalui satu sesi dengan penyelia masing-masing. 

 

"Matlamat utama adalah untuk memastikan semua pekerja bukan perkeranian dinaik taraf kepada status WE dan menerima peluang yang saksama," tambahnya. 

 

Maybank, katanya, akan terus memupuk bakat dengan menyediakan program latihan formal dan direka khas untuk memastikan mereka dapat mempercepatkan kemajuan kerjaya dan memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan.- DagangNews.com