Maybank pindah ibu pejabat ke Menara Merdeka 118, dijangka pada suku pertama 2025 | DagangNews Skip to main content

Maybank pindah ibu pejabat ke Menara Merdeka 118, dijangka pada suku pertama 2025

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Maybank akan memindahkan ibu pejabat korporatnya dari Menara Maybank di Jalan Tun Perak di sini ke Menara Merdeka 118, menjelang suku pertama 2025.

 

Ia berikutan majlis menandatangani perjanjian antara Maybank dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk perjanjian penyewaan bagi tempoh permulaan tiga tahun dan pembaharuan untuk enam penggal lagi selama tiga tahun setiap penggal, yang keseluruhannya berjumlah 21 tahun, di bangunan kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara itu.

 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, keputusan strategik untuk memindahkan ibu pejabatnya dibuat berikutan pertimbangan yang teliti dan terperinci mengenai keperluan operasi masa depannya. 

 

Beliau berkata, pertimbangan utama termasuk keperluan ruang kerja yang menyokong norma baharu dan memenuhi cita-cita kemampanan bank.

 

“Di masa kami secara beransur-ansur menerima pengaturan kerja hibrid dan persediaan pejabat maya, kami secara sedar mahu memenuhi ruang kerja optimum dalam bangunan yang disokong infrastruktur teknologi moden dan progresif alam sekitar, selaras dengan piawaian kemampanan global baharu dalam bangunan. 

 

"Pertimbangan ini adalah penting kepada cita-cita kepimpinan kami dalam bidang pendigitalan dan kemampanan serta sesuai dengan keinginan kami untuk mempromosikan amalan baik dalam setiap aspek operasi kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, perjanjian itu dimeterai Khairussaleh dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, yang turut dihadiri Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa serta Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria. 

 

 

maybank
Datuk Khairussaleh Ramli (kiri) dan Ahmad Zulqarnain Onn pada majlis menandatangani perjanjian tersebut pada 12 September 2022.

 

 

Beliau menambah bahawa Menara Merdeka 118 adalah yang paling sesuai dengan pertimbangan ini, terutamanya memandangkan status MSC dan aspirasi untuk mencapai piawaian Kelestarian Platinum. 

 

"Maybank akan menyewa secara keseluruhan 33 tingkat bagi menempatkan kira-kira 5,900 pekerjanya. Ia akan menduduki 650,000 kaki persegi, kurang daripada kawasan yang boleh disewa bersih semasa di Menara Maybank iaitu 1.09 juta kaki persegi," katanya.

 

Turut dipindahkan ke Menara 118 ialah anak syarikat Maybank terpilih yang sekarang ini berpejabat di Dataran Maybank termasuk Maybank Islamic, Maybank Investment Bank dan Maybank Asset Management, katanya.

 

Sebagai penyewa utama, katanya, Maybank ditawarkan hak penamaan serta papan tanda ke atas bangunan itu, ini akan meningkatkan keterlihatan jenamanya di salah satu bangunan yang tertinggi di dunia.

 

 

maybank
(Dari kiri) Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Datuk Khairussaleh Ramli, Ahmad Zulqarnain Onn dan Tun Arifin Zakaria.

 

 

"Sebagai permulaan, Maybank akan membayar sewa kasar bulanan sebanyak RM10.60 setiap kaki persegi bagi enam tahun pertama, dengan pelarasan seterusnya untuk kos inflasi. Ini diterjemahkan kepada kadar sewa efektif sebanyak RM8.92 kaki persegi iaitu lebih rendah daripada sewa kasar serta dalam kadar pasaran saksama sebanyak RM8.48 kaki persegi dan RM8.93 kaki persegi seperti yang dinilai oleh penilai bebas.

 

"Kadar sewa efektif bersih biasanya digunakan sebagai jangkaan ukuran pendapatan daripada penyewa. Sementara itu, memandangkan langkah itu akan menyebabkan kekosongan di Menara Maybank yang dimilikinya, kedua-dua pihak juga telah memeterai perjanjian pajakan untuk tempoh 10 tahun secara bersih tiga kali ganda, serentak dengan perjanjian penyewaan untuk Menara Merdeka 118.

 

"Perjanjian pajakan bagi Menara Maybank akan bermula pada suku terakhir 2025. Di bawah asas bersih tiga kali ganda itu, PNB akan menjadi pemberi pajak induk selain, menanggung semua perbelanjaan yang berkaitan dengan bangunan termasuk penyelenggaraan, insurans dan cukai.

 

"Pengaturan ini akan membolehkan Maybank merealisasikan pendapatan sewa sambil menangguhkan pelupusan bangunan ke tarikh kemudian apabila pasaran hartanah pulih selanjutnya, membolehkan bank memaksimumkan nilai bangunan," katanya.

 

 

Ahmad Zulqarnain pula berkata, setelah Menara Merdeka 118 siap, ia akan menetapkan penanda aras industri baharu sebagai bangunan pertama di Malaysia yang menyasarkan untuk mencapai pensijilan platinum tiga kali ganda dalam Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED), Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan Hartanah Hijau (GreenRE).

 

“Dengan pensijilan platinum tiga kali ganda, Menara Merdeka 118 akan menjadi bangunan hijau terulung di Malaysia dan peneraju industri dalam kemampanan dalam reka bentuk, seni bina dan binaan. 

 

"Sejarah kami sebagai rakyat yang merdeka bermula di sini. Merdeka 118 akan memberi penghormatan kepada sejarah kami dengan mengintegrasikan budaya, sejarah, komuniti dan perniagaan di dalam dan sekitar kawasannya," katanya. - DagangNews.com