Maybank rangkul pelbagai anugerah kecemerlangan dalam Sumber Manusia | DagangNews Skip to main content

Maybank rangkul pelbagai anugerah kecemerlangan dalam Sumber Manusia

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Maybank telah dinamakan sebagai Pemenang Utama Kecemerlangan Sumber Manusia oleh Majalah Sumber Manusia, sekali gus mengekalkan kedudukan nombor 1 di Anugerah 100 Majikan Siswazah Terkemuka (M100) Malaysia bersama GRADMalaysia.

 

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan perbankan itu turut mengumumkan berjaya merangkul gelaran Pemenang Keseluruhan Anugerah Pilihan Graduan Talentbank, pada acara berasingan yang dihadiri oleh pemimpin perniagaan terkemuka.

 

Katanya, ini adalah kali ketiga Maybank dinamakan sebagai Pemenang Utama Kecemerlangan sumber manusia, sejak anugerah itu diperkenalkan pada 2012. 

 

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Abd Manaf berkata, anugerah tersebut membuktikan komitmen kumpulan dalam memberikan yang terbaik untuk pemegang kepentingannya dan mencipta nilai yang saling berkaitan dengan misi Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan tidak kira apa pun cabaran yang mungkin dihadapi.

 

Datuk Nora Abd Manaf
Datuk Nora Abd Manaf

 

"Dalam dunia yang cepat berubah ini, adalah penting untuk kita memantau, membentuk semula dan menyelaraskan semula cara kita melakukan sesuatu untuk kekal relevan. 

 

"Kami telah melangkah jauh, secara berterusan mentakrifkan semula penglibatan dan inisiatif bakat kami, dan mengambil pendekatan yang lebih holistik dan proaktif dalam membentuk kesediaan masa depan rakyat dan graduan negara, menggunakan teknologi dan sentiasa menolak sempadan untuk memacu kami dalam mencapai aspirasi M25 dan melakukan lebih banyak lagi pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, Maybank turut kekal sebagai institusi kewangan pertama dan satu-satunya yang pernah dinamakan sebagai Majikan Graduan Terbaik dalam Anugerah 100 Majikan Siswazah Terkemuka Malaysia.

 

"Pengiktirafan ini turut diterima oleh Bank pada 2014, 2016, 2018, 2019 dan 2020. 

 

"Kemenangan tahun ini menjadikan Maybank satu-satunya organisasi yang pernah memenangi anugerah itu sebanyak enam kali sejak penubuhannya," katanya.

 

Di samping menerajui gelaran keseluruhan 100 majikan paling terkenal, Maybank turut dinamakan sebagai pemenang dalam kategori Perkhidmatan Perbankan dan Kewangan untuk tahun kesebelas, menunjukkan populariti berterusan Maybank dalam kalangan calon graduan. -DagangNews.com