Maybank tidak berhasrat tutup cawangan | DagangNews Skip to main content

Maybank tidak berhasrat tutup cawangan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Malayan Banking Bhd. (Maybank) tidak berhasrat untuk menutup mana-mana cawangannya di seluruh negara sebaliknya akan memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan di setiap cawangan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, jumlah cawangan juga akan ditingkatkan pada masa hadapan supaya dapat menyediakan perkhidmatan terbaik seiring peredaran zaman. 

 

Ini kerana katanya, Maybank masih melihat cawangan memainkan peranan penting kepada bank dan juga para pelanggan.

 

"Untuk itu, kita akan membuat banyak perubahan termasuk dari segi reka bentuk dan jenis perkhidmatan ditawarkan, tetapi akan mengambil masa beberapa tahun, bergantung kepada struktur ekonomi dan lokasi cawangan berkenaan. 

 

"Mungkin jumlah cawangan akan ditingkatkan dan bukannya ditutup. Perkhidmatan juga akan diperbaiki dan pekerja dilatih semula bagi memenuhi keperluan semasa," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-61 hari ini secara maya yang turut dihadiri Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa. 

 

Abdul Farid diminta mengulas mengenai kajian yang dijalankan Roland Berger, syarikat perunding terkemuka Eropah bertajuk Branching out - The future of retail banking networks yang mendapati hampir 600 cawangan perbankan runcit di Malaysia dijangka ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang

 

Pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.

 

Malah, kajian itu juga mendapati, Indonesia, Thailand dan Malaysia akan memperlihatkan penggabungan cawangan yang ketara ketika ekonomi terus berkembang, selain dipacu insentif dan peraturan kerajaan yang menyokong lebih banyak aktiviti perbankan digital.

 

Dalam pada itu, Maybank kini berada dalam fasa 5 tahun strategi dikenali M25 yang direka khusus bagi mempercepatkan pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan kumpulan perkhidmatan kewangan terkemuka di negara ini. 

 

M25, dibangunkan selepas Pelan Maybank 2020 berakhir tahun lalu yang menetapkan hala tuju dan strategi kumpulan perbankan itu sehingga 2025.

 

Pelan baharu itu akan dipacu oleh tiga keutamaan strategik - penerapan digital, membina pemacu nilai baharu dan menerapkan kelestarian di sepanjang operasi Maybank untuk mencapai 3 hasil aspirasinya iaitu menyampaikan pulangan ekuiti (ROE) yang mapan, menawarkan pengalaman pelanggan terbaik dan menjadi peneraju Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serantau.

 

Mengulas mengenai perkara ini, Zamzamzairani berkata, M25 akan berpusat kepada tujuan kumpulan iaitu perkhidmatan kewangan bercirikan kemanusiaan, yang mana telah diberi nafas baharu untuk mencerminkan keutamaan jangka panjang dan landskap operasi baharu.

 

Katanya, pelan itu akan memandu kumpulan dan mengharungi landskap yang mengganggu semasa sementara memberi tumpuan untuk mewujudkan nilai bagi berjuta-juta pemegang kepentingannya.

 

"Pelan ini akan menerapkan elemen digital dan kelestarian serta memberi penjelasan mengenai perubahan yang kami akan laksanakan di dunia dan apa yang menjadi keutamaan kepada pihak berkepentingan," katanya. 

 

Abdul Farid berkata, di bawah Pelan M25, Maybank menetapkan sasaran hasil jangka panjang menjelang 2025 dengan pulangan ekuiti (ROE) antara 13 hingga 15%.

 

Antara sasaran lain termasuklah nisbah kos kepada pendapatan di bawah 45%, pendapatan sesaham lebih daripada 100 sen dan mengisytiharkan bayaran nisbah dividen antara 40 hingga 60% berasaskan tunai bersih. 

 

"Pada 2025, kumpulan juga berhasrat untuk mengagihkan RM50 bilion dalam pembiayaan mapan untuk memperbaiki kehidupan sejuta isi rumah di seluruh ASEAN.

 

"Selain itu, Maybank komited untuk mencapai tahap pelepasan karbon yang neutral pada 2030 bagi memenuhi sasaran pelepasan sifar karbon menjelang 2050," katanya. 

 

Menurut beliau, melangkah ke masa depan, kumpulan akan memberi keutamaan bagi memastikan semua keputusan perniagaan dibuat berteraskan prinsip ESG dengan memberi keutamaan kepada pelanggan dan komuniti. - DagangNews.com