Maybank umum pelaburan strategik dalam Funding Societies rapatkan jurang pembiayaan PKS | DagangNews Skip to main content

Maybank umum pelaburan strategik dalam Funding Societies rapatkan jurang pembiayaan PKS

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Maybank mengumumkan pelaburan strategik dalam Funding Societies bagi menggalakkan keterangkuman dan merapatkan jurang pembiayaan  perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Pelaburan sulung itu merupakan sebahagian daripada inisiatif baharu Maybank bagi pelaburan strategik dan menjalinkan kerjasama dengan organisasi digital terbaik di seluruh ASEAN. 

 

Maybank berkata, pelaburan itu juga merupakan sebahagian daripada pendekatannya bagi mempercepatkan inovasi perkhidmatan kepada komuniti PKS. 

 

"Ia sejajar dengan teras strategik M25+ Maybank, yang bertujuan untuk mempercepatkan pendigitalan melalui orkestrasi ekosistem dalam dan luar sektor perbankan," ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Ditubuhkan pada 2015, Funding Societies adalah syarikat teknologi kewangan serantau yang mengkhusus dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS. 

 

Sejak penubuhannya, Funding Societies telah mengeluarkan lebih AS$4 bilion dalam pembiayaan perniagaan yang memberikan kesan positif kepada lebih 100,000 perniagaan di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam. 

 

Di Malaysia, Funding Societies merupakan salah satu entiti pertama yang didaftarkan sebagai pengendali pasaran yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

 

hhh
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli

 

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pelaburan dalam Funding Societies itu menggariskan komitmen bank memacu rangkuman kewangan yang selaras dengan tujuan bank Menginsankan Perkhidmatan Kewangan. 

 

"Dengan memanfaatkan kepakaran perbankan kami bersama platform digital inovatif Funding Societies, Maybank komited dalam memupuk ekosistem PKS yang teguh,” ulas beliau. 

 

 

hhh
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo menekankan perkongsian ini dalam mengesahkan dedikasinya meluaskan akses kredit kepada PKS yang menghadapi cabaran pengurusan aliran tunai. 

 

"Kami sedang kembangkan perkhidmatan kami secara berperingkat bagi membantu perniagaan PKS memenuhi potensi perniagaan mereka,” katanya.- DagangNews.com