KUALA LUMPUR 19 Dis - MBO Cinemas akan membuat kemunculan semula dalam industri pawagam tempatan tidak lama lagi di bawah pihak pengurusan yang baharu.
Pengarah Urusan MBO Cinema Sdn Bhd, Karthiik Doraisingam berkata, pihaknya berusaha untuk membuka semula beberapa cawangannya secara berperingkat dengan MBO Cinemas di Atria Shopping Gallery, Damansara menjadi premis pertama dalam kebangkitan semula jenama itu
Beliau berkata, pihaknya sangat teruja untuk membawa MBO Cinemas kembali ke tempat asalnya dan keutamaan kami adalah untuk terus menyediakan pengalaman sinematik terbaik
"Kami memberi jaminan kepada peminat setia MBO Cinemas bahawa kami akan kembali dengan semangat baharu sambil mengekalkan semua tawaran ikonik MBO yang pernah dibawakan untuk penonton wayang.
"Kami juga mengiktiraf pengikut MBO yang ramai dan kami sedang berusaha untuk melayani peminat setia kami dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan
Sebagai antara syarikat pawagam yang digemari di Malaysia, MBO Cinemas sebelum ini terpaksa menutup semua cawangan di seluruh negara kesan pandemik COVID-19.
Dengan reputasi yang kukuh dalam menyediakan pengalaman sinematik terbaik dengan dewan istimewanya dan konsep tontonan pawagam yang unik, berita penutupan kekal MBO Cinemas disambut dengan pelbagai emosi apabila peminat jenama itu 'turun' ke media sosial untuk menyatakan kekecewaan mereka atas penutupan rangkaian pawagam kegemaran mereka.
Karthiik berkata, keadaan kini telah berubah menjadi lebih menggembirakan penonton filem tempatan dan peminat setia jenama itu kerana MBO Cinemas kini dibuka semula kembali ke industri pawagam yang disokong oleh pengurusan baharu.
''Kami merancang untuk membuka semula cawangan di Atria Shopping Gallery pada 29 Disember ini dan berdasarkan perancangan ia akan diikuti oleh beberapa cawangan lain termasuk Elements Mall Melaka, Taiping Sentral Mall, Teluk Intan, Brem Mall, Space U8 dan U-Mall Skudai.
"Pihak pengurusan juga kini sedang berbincang dengan pemaju hartanah terkemuka tempatan untuk membuka cawangan baharu pada 2022," katanya.
MBO Cinemas di Atria Shopping Gallery menawarkan empat skrin standard selain empat skrin khas untuk dua dewan MBO KECIL, Big Screen dan Samsung ONYX menjadikan keseluruhan lapan skrin dengan jumlah gabungan 1,231 tempat duduk.
Selain itu, cawangan itu juga menampilkan, Cafecito iaitu gerai konsesi bertemakan kedai kopi unik yang menyajikan minuman mewah dan snek ringan yang juga akan dilancarkan semula tidak lama lagi.
Selaras dengan pembukaan semula rasminya pada 29 Disember ini, MBO Cinemas di Atria Shopping Gallery akan menganjurkan tayangan filem percuma untuk orang ramai dari 24 hingga 26 Disember. - DagangNews.com