MBOT bentuk pakatan bersama negara ASEAN pacu kelestarian bakat teknologi serantau | DagangNews Skip to main content

MBOT bentuk pakatan bersama negara ASEAN pacu kelestarian bakat teknologi serantau

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT)  menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan negara-negara ASEAN iaitu Myanmar, Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja dan Timor Leste.

 

Kolaborasi ini melambangkan komitmen yang tinggi dalam memacu kemajuan dan kelestarian bakat teknologi di rantau ini.

 

Simbolik kerjasama bersejarah itu berlangsung semasa Rangkaian Pakar MBOT dalam Teknologi, Inovasi dan Kerjasamat (ENTICE 23) yang disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

 

Dengan tema 'Mengekalkan Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus dengan Teknologi', MBOT ENTICE 23 merupakan sesi townhall yang dianjurkan secara tahunan. Program ini menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk ucaptama dan sesi forum, Memorandum Persefahaman (MoU), Global Technological Alliance (GTA), Majlis Penyampaian Anugerah dan Pameran.

 

Dalam ucapannya, Chang Lih Kang berkata, pakatan MBOT ini merupakan platform rangkaian untuk teknologis dan juruteknik.

 

"Saya yakin bahawa pakatan ini akan memberi manfaat kepada semua negara anggota dari segi pengiktirafan profesional, kecemerlangan pendidikan, kerjasama dan menggalakkan mobiliti," kata beliau.

 

Beliau turut memuji inisiatif Komunit Amalan (CoP) MBOT untuk mewujudkan standard dan kod etika bagi bidang teknologi mereka.

 

CoP adalah sekumpulan profesional MBOT yang terikat bersama dengan profesionalisme dan kepakaran bersama untuk amalan profesional bersama dalam memupuk pendekatan baru dalam pembangunan teknologi.

 

Sebaliknya, MOSTI memberi tumpuan kepada pembangunan sektor dan perancangan jangka panjang untuk industri.

 

Acara ini juga turut memberi penghormatan kepada penerima Anugerah Teknologis Negara, Eur. Ing. Ts. Mohamad Sukor Zainal Abiddin; penerima Anugerah Juruteknik Negara, Tc. Narzrezal Abdul Razak dan Tan Sri (Dr.) Ts. Ir. Ahmad Zaidee Laidin, mantan Presiden MBOT pula telah diberi penghormatan dengan penganugerahan Distinguised Honorable Award.


 

mbot

 


Majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur ini turut diserikan dengan kehadiran lebih 500 hadirin secara fizikal yang terdiri daripada ahli MBOT, wakil daripada pelbagai industri, institusi, agensi kerajaan dan organisasi serta 5000 peserta maya.

 

Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) merupakan sebuah badan profesional yang memberikan pengiktirafan profesional kepada Teknologis dan Juruteknik dalam bidang teknologi dan teknikal.

 

MBOT telah ditubuhkan di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 [Akta 768] untuk mengiktiraf, mengawal, menggalak dan membangunkan profesion teknologis dan juruteknik sebagai profesion ikhtisas. - DagangNews.com