MBOT diterima sebagai penandatangan penuh Seoul Accord | DagangNews Skip to main content

MBOT diterima sebagai penandatangan penuh Seoul Accord

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 18 Jun – Mencatat satu lagi kejayaan gemilang, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah diterima sebagai Penandatangan Penuh Seoul Accord pada Mesyuarat Agung Tahunan Seoul Accord yang berlangsung pada 15-16 Jun 2024 di India.

 

Seoul Accord merupakan perjanjian pelbagai hala antara badan-badan yang bertanggungjawab memberikan akreditasi kepada program profesional dalam bidang pengkomputeran dan teknologi maklumat di peringkat akademik.

 

Pada masa ini, Australia, Kanada, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Korea, Mexico, United Kingdom dan Amerika Syarikat merupakan negara penandatangan penuh Seoul Accord.

 

Dalam usaha mencapai pengiktirafan ini, MBOT telah bekerja keras sepanjang tempoh lima tahun bermula 2019 hinggalah kejayaan dikecapi pada hari ini.

 

Mengiktiraf kepentingan memenuhi standard antarabangsa, MBOT komited untuk mencapai matlamat ini dengan sokongan Persatuan Komputer Australia (ACS), Australia, yang berkhidmat sebagai mentor.

 

Proses untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai penandatangan penuh melibatkan pelbagai sesi penilaian. Antara yang dijalankan adalah ke atas pelajar dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dalam program Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dan Universiti Multimedia, Kampus Cyberjaya bagi program Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dan Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) Sistem Maklumat dari 3 hingga 6 April 2023.

 

MBOT menerima maklum balas positif daripada panel penilai, terutamanya berkenaan kesetaraan standard akreditasi MBOT dengan Seoul Accord.

 

Panel terhormat adalah daripada Accreditation Board for Engineering and Technology (ABET), Institute of Engineering Education Taiwan (IEET), dan British Computer Society (BCS).

 

 

mbot

 

 

Dengan pengiktirafan ini, Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaan dan kredibilitinya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi di persada antarabangsa.

 

Melalui status sebagai Penandatangan Penuh Seoul Accord, program sarjana muda yang diakreditasi oleh MBOT khususnya dalam tiga (3) bidang iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Teknologi Keselamatan Siber serta Teknologi Senireka dan Multimedia Kreatif adalah setaraf dengan standard antarabangsa yang ditetapkan oleh Seoul Accord.

 

Oleh itu, semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan program sarjana muda dalam bidang berkenaan diminta untuk mendapatkan akreditasi daripada MBOT melalui Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal.

 

Langkah ini akan membolehkan para graduan mendapat pengiktirafan antarabangsa setaraf dengan negara-negara maju yang menjadi penandatangan penuh Seoul Accord. Ini seterusnya akan meningkatkan prospek kerjaya para graduan di peringkat global. - DagangNews.com